Pemandu Honda Civic Rempuh 5 Kenderaan Di KLIA Ditahan Polis, Ada 31 Rekod Jenayah [Video]
Menurut Ketua Polis Daerah KLIA, ACP M Ravi Honda Civic berkenaan bertindak melanggar beberapa buah kenderaan awam di KLIA sewaktu dikejar MPV Polis.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak semalam (30 Mac) tular satu video di media sosial memaparkan sebuah kereta Honda Civic bertindak merempuh beberapa kenderaan yang berada di lorong hadapan dipercayai Balai Ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA).
Dalam video dashcam yang dikongsikan oleh Aafiq Abdul (@aafiq.abdul) di Threads, kelihatan kereta Honda Civic berwarna merah datang secara tiba-tiba dari arah belakang sebelum merempuh kenderaan yang berada di lorong kiri dan kanan.
Kereta Honda Civic itu dilihat merempuh kenderaan terbabit sewaktu dikejar oleh kereta peronda (MPV) polis. Di akhir video kelihatan pihak polis telah berjaya menahan individu berkenaan.
View on Threads
View on Threads
Pemandu Honda Civic ada 31 rekod jenayah
Terbaharu, polis mengesahkan pemandu berkenaan, seorang lelaki warga tempatan telah ditahan pada petang semalam (30 Mac) dan memiliki 31 rekod kenayah lampau.
Jelas Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi individu yang ditahan berusia 30 tahun terbabit bertindak melanggar beberapa buah kenderaan awam sewaktu melarikan diri ketika dikejar oleh MPV polis dalam insiden 4.30 petang.
“Anggota MPV yang melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan KLIA cuba menahan sebuah kenderaan jenis Honda Civic berwarna merah namun pemandu berkenaan enggan berhenti untuk pemeriksaan.
“Pemandu kenderaan tersebut telah cuba melarikan diri ke arah laluan terminal KLIA Aras 3 hingga melanggar lima buah kenderaan awam yang berada di laluan tersebut sebelum berjaya ditahan berdekatan dengan tempat kejadian,” jelasnya, lapor Bernama.
Ada rekod kesalahan berkaitan dadah dan dikehendaki polis
Ujar Ravi lagi, hasil semakan yang dilakukan mendapati suspek ada 31 rekod jenayah lampau dan satu rekod kesalahan berkaitan dadah yang masih lagi dikehendaki oleh pihak polis.
Kes disiasat mengikut di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas dan membuat khianat.
Selain itu, kes berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta kesalahan trafik berkaitan.
Kata beliau lagi, pemandu berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Sepang hari ini (31 Mac) bagi tujuan permohonan reman.



