fbpx
Now Reading
Kes Bayi 4 Bulan Maut Di Taska Hospital Seberang Jaya: Pengasuh Wanita Didakwa Di Mahkamah

Kes Bayi 4 Bulan Maut Di Taska Hospital Seberang Jaya: Pengasuh Wanita Didakwa Di Mahkamah

Tertuduh yang dikenali sebagai Nur Farhana Fazmar Abdullah mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada 9 Mac lalu, hangat di media sosial kejadian tragis melibatkan seorang bayi lelaki berusia 4 bulan yang maut di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Mangsa yang dikenali sebagai Hayl Haarith Mohd Syafaeez ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Jabatan Kecemasan HSJ untuk menerima rawatan.

Ekoran itu, dua orang pekerja pusat asuhan terbabit telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 10 Mac sebelum polis mendapat perintah lanjutan reman pada Isnin (16 Mac) lalu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Malah semalam (18 Mac), Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mendedahkan punca kematian Hayl Harith adalah akibat asfiksia iaitu lemas akibat kekurangan oksigen.

Pengasuh 22 Tahun Didakwa Di Mahkamah Atas Tuduhan Membunuh

Terbaharu, seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas tuduhan membunuh Hayl Haarith pada awal bulan lalu.

Tertuduh yang dikenali sebagai Nur Farhana Fazmar Abdullah mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes tersebut berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, Nur Farhana yang berusia 22 tahun dituduh menyebabkan kematian bayi kepada Ummu Habibah Wahab di Taska Pintar HSJ pada 9 Mac lalu antara jam 1 pagi hingga 4 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.

Namun sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan sebatan tidak kurang dari 12 kali.

Rakan Sekerja Dibebaskan Dengan Jaminan, Bertindak Sebagai Saksi Pendakwaan

Mahkamah kemudiannya menetapkan 23 Jun sebagai sebutan semula kes dan tidak menawarkan sebarang jaminan sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Pada masa yang sama, seorang lagi rakan kerja tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan bertindak sebagai saksi pendakwaan.

Tertuduh diwakili peguam, Muhaimin Hashim dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun.

Sebelum ini, EXCO Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim menjelaskan taska terbabit berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta mematuhi nisbah bilangan pengasuh dan kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

Walau bagaimanapun, dua pekerja taska yang ditahan masih belum mengikuti Kursus Asuhan Permata (KAP) dan didapati berkhidmat dengan taska berkenaan kurang daripada tempoh setahun.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.