Nak Elak Kekeliruan, MOT Keluarkan Garis Panduan Bagi Kenderaan D-Kontrol & Pikap
Menurut Menteri MOT, Anthony Loke kenderaan D-kontrol boleh digunakan pemilik atau syarikat untuk bawa barangan milik sendiri berkaitan aktiviti perniagaan tanpa perlu permit pengendalian dari APAD.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kenderaan digunakan untuk memudahkan seseorang bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain.
Namun ada juga yang membeli sesebuah kenderaan untuk tujuan tertentu seperti untuk membawa barang atau muatan yang berat bagi perniagaan yang dijalankan.
Akan tetapi penggunaan kenderaan seperti ini perlulah mendapatkan lesen yang sah serta mengikut setiap peraturan yang telah ditetapkan.
MOT keluarkan garis panduan pengguna kenderaan D-kontrol & pikap
Terbaharu Kementerian Pengangkutan (MOT), telah mengeluarkan garis panduan pengguna bagi kenderaan D-kontrol serta pikap untuk membawa barangan.
Garis panduan ini dikeluarkan supaya pengguna kenderaan berkenaan boleh memberikan penjelasan berhubung penggunaannya secara sah dan selamat berkuat kuasa bermula 1 April ini.
Jelas Menteri MOT, Anthony Loke Siew Fook tujuan garis panduan berkenaan dikeluarkan adalah bagi mengelakkan berlaku kekeliruan pengguna jalan raya sewaktu menggunakan kenderaan tersebut untuk membawa barangan.
Kenderaan D-kontrol tak perlu permit pengendalian jika bawa barang sendiri yang berkait dengan bisnes
Kata Anthony, di bawah ketetapan sedia ada, kenderaan D-kontrol merujuk kepada kenderaan barangan Berat Dengan Muatan (BDM) yang tidak lebih daripada 7,500 kilogram.
Kenderaan D-Kontrol ini boleh digunakan oleh pemilik atau syarikat untuk membawa barangan milik sendiri berkaitan aktiviti perniagaan tanpa memerlukan permit pengendalian dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Bagaimanapun, sekiranya kenderaan digunakan untuk membawa barangan milik pihak ketiga tujuan sewa atau upah, aktiviti tersebut dianggap sebagai perkhidmatan pengangkutan barangan komersial dan penggendali perlu mendapatkan Permit Pembawa daripada APAD selaras dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715],” ujarnya, lapor Utusan Malaysia.
Dalam masa sama, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut menyelaraskan kebenaran khas kepada pemandu lesen memandu kelas D bagi memandu kenderaan D-kontrol Berat Tanpa Muatan (BTM) sehingga 4,000 kilogram yang akan dimasukkan secara rasmi dalam garis panduan tersebut.
Garis panduan untuk pikap
Beliau turut memaklumkan bagi pengguna yang mempunyai pikap persendirian pula:
- Pemilik dibenarkan membawa barangan milik sendiri selagi barangan itu diangkut (dibawa) dengan selamat
- Tidak melebihi had muatan kenderaan
- Tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain
Antara contoh barangan yang dibenarkan adalah:
- Peralatan kerja
- Tangga
- Mesin rumput
- Bahan binaan kecil
- Peralatan pertanian
- Perabot
- Barangan pindah rumah
“Selagi muatan tidak menjulur keluar, disusun dan diikat dengan selamat, serta tiada ubah suai struktur kenderaan, tiada tindakan penguatkuasaan yang dikenakan.”
JPJ akan jelaskan dengan polis untuk elak kekeliruan dalam penguatkuasaan
Dalam pada itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal memberikan penjelasan kepada polis. Ia bertujuan untuk mengelakkan berlaku kekeliruan dalam penguatkuasaan, kerana ada aduan daripada pemilik pikap yang disaman meskipun mereka hanya membawa barangan sendiri.



