Tular Dakwaan Warga Asing Elak Bayaran Deposit Rawatan Di HKL, KKM Jalankan Siasatan
Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pihaknya masih belum boleh mengesahkan kesasihan dakwaan tersebut namun ia akan disiasat dengan teliti.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (15 Mac), tular di media sosial dakwaan seorang pengguna Threads mengenai sikap warga asing yang mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menerusi tangkap layar yang tular, pengguna berkenaan yang mendakwa dirinya sebagai jururawat di jabatan tersebut mendedahkan sikap warga asing yang merugikan kerajaan dengan mengelak untuk membuat bayaran rawatan menerusi cara tidak membawa pasport ke hospital berkenaan.
Dakwa pengguna itu, warga asing sepatutnya membayar RM2,800 sebagai deposit sebelum dimasukkan ke dalam wad untuk menerima rawatan.
Dakwanya lagi, kebanyakan warga asing yang terdiri daripada Bangladesh, Nepal dan Myanmar berpura-pura kononnya tidak membawa pasport kerana tidak mahu membayar jumlah tersebut hingga mereka diberikan Lampiran A sekaligus dikecualikan dari membuat bayaran.
Hantaran itu nyata menarik perhatian pengguna media sosial termasuk penyanyi rap dan pempengaruh, Caprice yang meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyiasat isu terbabit.
KKM Akan Jalankan Siasatan Berhubung Dakwaan Tular
Terbaharu, KKM akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan tular yang melibatkan pesakit warga asing di HKL.
Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pihaknya masih belum boleh mengesahkan kesasihan dakwaan tersebut namun ia akan disiasat dengan teliti.
Jelasnya, setiap maklumat yang didedahkan perlu dihormati apatah lagi ia mungkin datang daripada pemberi maklumat atau whistleblower yang seharusnya dilindungi.
“Bagi saya, perkara ini mustahak untuk diteliti dan disiasat dengan lebih rapi kerana kita perlu menghormati mereka yang memberi maklumat. Kadangkala kita juga mahu whistleblower dilindungi.
“Saya sudah memaklumkan perkara ini kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab dan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad akan berbincang dengan pengurusan tertinggi kementerian berhubung dakwaan berkenaan,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Warga Asing Perlu Bayar Deposit Sebelum Dapatkan Rawatan
Tambahnya lagi, semua pesakit warga asing perlu membuat bayaran deposit sebelum dimasukkan ke wad berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM.
Bayaran deposit yang ditetapkan adalah RM1,400 bagi kes perubatan manakala RM2,800 bagi kes pembedahan.
Terangnya, bagi pesakit yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), bayaran deposit yang dikenakan adalah 50% daripada kadar berkenaan.
“Bayaran deposit hanya dikecualikan bagi warga asing yang mempunyai skim insurans kesihatan seperti Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) atau skim insurans perubatan pelarian,” terang Dr Dzulkefly.
Namun, sekiranya pesakit tidak mempunyai wang yang mencukupi atau perlindungan insurans, mereka akan diminta untuk menghubungi waris, keluarga atau rakan untuk menyediakan wang deposit terbabit.
Lampiran A Bukan Pengecualian Bayaran, Hanya Penangguhan Sementara
Tegas Dr Dzulkefly, Lampiran A yang didakwa boleh digunakan untuk mengelak bayaran hanya digunakan bagi kes kecemasan yang melibatkan ancaman nyawa di Jabatan Kecemasan dan Trauma.
Malah, borang itu hanyalah penangguhan sementara bagi membolehkan rawatan kecemasan segera diberi kepada pesakit.
Penggunaan borang terbabit juga tertakluk kepada penilaian pegawai perubatan pakar, pakar kecemasan atau pengarah hospital.
“Lampiran A bukan pengecualian bayaran tetapi hanya penangguhan sementara bagi membolehkan rawatan kecemasan seperti resusitasi dan penstabilan pesakit dilakukan segera.
“Selepas pesakit stabil, proses mendapatkan bayaran deposit akan diteruskan,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Dipercayai Warga Asing Selamba Jual Tanah Orang Lain Tanpa Pengetahuan Pemilik [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Tegur Warga Asing Didakwa Ambil Makanan Infak Di Masjid Secara Berlebihan



