Pasangan Kekasih Cedera Dipukul & Dirompak Rakan Baik Yang Dibantu
Kata mangsa wanita berkenaan, lima individu yang merompak kediaman mereka turut membawa senjata seperti parang, alat renjatan elektrik serta kayu golf sewaktu menyerbu masuk ke dalam bilik.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kita sememangnya dinasihatkan untuk berhati-hati dalam berkawan dan membantu mengikut kemampuan.
Namun apabila sudah mendapat kawan yang baik, ada pula segelintir darinya cuba menggunakan kebaikan tersebut untuk perkara yang tidak sepatutnya.
Bahkan ada juga yang sanggup melakukan tindakan jenayah terhadap rakan sendiri dek kerana kepentingan diri.
Pasangan kekasih cedera kena pukul sewaktu kena rompak di rumah
Terbaharu, satu pasangan kekasih turut berdepan perkara sama apabila niat mereka membantu rakan yang dalam kesusahan bertukar menjadi tragedi buruk apabila kawan tersebut membawa beberapa individu lain untuk merompak rumah mereka di Kepong, Kuala Lumpur.
Tindakan tersebut dilakukan oleh individu berkenaan sebelum bertindak melarikan sebuah kereta.
Siap bawa senjata parang dan alat renjatan elektrik
Apa yang lebih mengejutkan, rakan tersebut turut mempunyai senjata seperti parang serta alat renjatan elektrik selain turut memukul pasangan terbabit sehingga mereka cedera.
Mangsa wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Chua berusia 32 tahun memaklumkan insiden terbabit berlaku di tingkat empat di sebuah rumah kedai di Bandar Manjalara, Kepong jam 6.38 pagi, pada 13 Mac.
Jelas Chua, sewaktu insiden terbabit dia bersama teman lelakinya sedang tidur. Mereka kemudian dikejutkan dengan lima orang individu yang terdiri daripada empat lelaki serta seorang wanita yang bertindak memecah masuk rumah untuk merompak.
“Kami terdengar bunyi dentuman kuat dan mendapati pintu bilik ditendang.
“Selepas itu, lima individu yang membawa parang, alat renjatan elektrik dan kayu golf menyerbu masuk ke dalam bilik,” jelasnya, lapor Berita Harian.
Tak sempat nak buat apa-apa kerana terkejut
Kata wanita tersebut disebabkan terkejut dengan serangan yang berlaku, mereka tidak sempat untuk bertindak sehingga menyebabkan kecederaan pada badan.
“Demi keselamatan diri, kami terpaksa menuruti arahan mereka dengan menyerahkan semua barangan berharga termasuk wang tunai, telefon bimbit, kad pengenalan, kad bank serta kunci kereta milik seorang rakan yang disimpan di rumahnya.
“Mereka turut melarikan sebuah kereta Honda Civic berwarna perak milik rakan saya.”
Salah seorang adalah rakan baik teman lelaki, kerugian RM6,000 kerana dirompak
Ujar Chua, salah seorang daripada individu berkenaan merupakan kawan baik kepada teman lelakinya.
Menurutnya mereka pernah beberapa kali menghulurkan bantuan kepada lelaki berkenaan dan memberikannya tempat tinggal.
“Namun beberapa hari lalu teman lelaki saya ada bertengkar dengan rakannya itu sebelum dia berpindah keluar.
“Tidak sangka dia kemudian datang bersama individu lain untuk melakukan rompakan, menyebabkan kami kerugian RM6,000 manakala kereta rakan dibawa lari,” jelasnya lagi.
Laporan polis sudah dibuat, polis tahan dua individu lelaki dan rampasan turut dilakukan
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Basri Sagoni, memaklumkan laporan berhubung kes telah diterima pihaknya daripada mangsa jam 12.10 tengah malam, pada 14 Mac.
Ujar beliau, wanita berkenaan memberitahu mereka telah didatangi empat lelaki di bilik sewa rumah di Bandar Manjalara Kepong, Kuala Lumpur.
Salah seorang daripada suspek dikenali serta seorang wanita.
“Suspek masuk ke dalam rumah dan berlaku pertengkaran mulut selamasa melarikan diri suspek mengambil kunci kereta Honda City, tiga telefon bimbit dan dokumen peribadi.
“Susulan itu, polis menahan dua lelaki di sebuah hotel di Cheras pada jam 3.30 pagi (15 Mac) bagi bantu siasatan dan rampasan bersabit kes.
“Permohonan reman kedua-dua suspek dibenarkan selama enam hari sehingga 20 Mac ini.”
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.



