fbpx
Now Reading
Andalusia Belanja Hampir RM1 Juta, Beli Tiket Baharu Untuk Jemaah Umrah Selepas Penerbangan Dibatalkan

Andalusia Belanja Hampir RM1 Juta, Beli Tiket Baharu Untuk Jemaah Umrah Selepas Penerbangan Dibatalkan

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris, memaklumkan bahawa jemaah umrah yang masih belum dapat pulang akibat penerbangan dibatalkan turut diberi penginapan dan makan minum percuma.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada Sabtu lalu (28 Februari), Iran telah berdepan serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel, sebelum negara itu melancarkan serangan balas terhadap beberapa negara Teluk termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sehubungan itu, beberapa negara di Timur Tengah menutup ruang udaranya sekali gus menyebabkan ribuan penerbangan dibatalkan atas faktor keselamatan.

Ini termasuklah bagi para jemaah umrah yang sedang dalam perjalanan ke Mekah ataupun menunggu giliran untuk pulang ke Malaysia.

Baca Artikel Berkaitan: AS & Israel Serang Iran, Ini Apa Yang Kita Perlu Tahu

Andalusia Belanja RM1 Juta Demi Beli Tiket Penerbangan Baharu Untuk Jemaah Umrahnya

Syarikat pengurusan haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd bagaimanapun telah membeli tiket baharu melalui Saudi Airlines untuk jemaahnya bagi menggantikan penerbangan yang dibatalkan.

Dalam satu sesi Live di Facebook petang semalam (2 Februari), pihaknnya memaklumkan telah mengeluarkan belanja hampir RM1 juta demi memastikan kebajikan dan keselamatan jemaah.

Menurut Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris, 281 jemaah di bawah pengelolaan syarikat itu sepatutnya pulang ke negara pada 1 Mac lalu sebelum Malaysia Airlines membatalkan penerbangannya atas faktor keselamatan.

Jemaah Masih Meneruskan Umrah Seperti Biasa, Tidak Terkandas

Sehubungan itu, orang ramai dimaklumkan bahawa kesemua jemaah umrah terbabit berada dalam keadaan sihat dan tenang, serta Operasi Umrah berjalan dengan lancar di bawah pemantauan rapi dan koordinasi bersama pihak berkaitan.

Tambah Ida Riswana, terdapat kumpulan jemaah yang telah diterbangkan pada 18 Februari dan sepatutnya pulang pada 1 Mac lalu, gagal berbuat demikian kerana pembatalan penerbangan Malaysia Airlines.

Katanya, semua mereka kini bersama Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Ustaz Md Daud Che’ Ngah dan para mutawif lain.

“Namun jemaah seramai 281 orang, mereka sihat-sihat sahaja, berada di Mekah. Alhamdulillah mereka menjalani kehidupan dan ibadah mereka seperti biasa di Mekah bersama dengan Ustaz Daud Che’ Ngah bersama dengan mutawif-mutawif yang memantau keadaan mereka.

“Kesemua mereka diberikan penginapan percuma, makan minum secara percuma bersama dengan jemaah-jemaah lain,” katanya.

Ida Riswana turut menjelaskan bahawa mereka kini sedang menunggu giliran penerbangan pulang dan bukanlah berada dalam keadaan yang ‘terkandas’ seperti dianggap oleh sesetengah orang.

“Kita tidak perlu menggunakan perkataan terkandas kerana mereka berada di hotel di Mekah dalam keadaan tenang dan selamat, bukan di Jeddah tanpa pengurusan,” ujarnya.

Andalusia Turut Beli Tiket Baharu Bagi Jemaah Dalam Perjalanan Ke Jeddah

Dalam masa sama, Andalusia turut mengambil inisiatif bagi pembelian tiket baharu yang membabitkan kumpulan jemaah seramai 82 orang yang sepatutnya terbang pada 1 Mac sebelum penerbangan Malaysia Airlines dibatalkan.

“Mereka telah kami terbangkan semula menerusi inisiatif sendiri untuk mencari penerbangan menerusi Saudi Airlines, dan mereka telah terbang dengan selamat pada 2.15 pagi tadi. Alhamdulillah telah selamat sampai di Jeddah dan menyelesaikan ibadah umrah masing-masing,” kata Ida Riswana.

Selain itu, Andalusia turut menggantikan tiket kepada Saudi Airlines tanpa perubahan tarikh bagi penerbangan pada 4 Mac yang melibatkan 48 jemaah.

“Kami tetap mengambil kira kepentingan dan keselamatan semua pihak terutamanya jemaah Andalusia dan kami membelanjakan hampir RM1 juta tambahan untuk menerbangkan semula jemaah sama ada oleh penerbangan yang tidak dapat terbang ataupun jemaah yang harus balik ke Malaysia semula,” katanya.

Pihak Andalusia turut berkesempatan mengadakan siaran lintas langsung bersama Ustaz Md Daud yang berada di Hotel Olayan Al Haram, Mekah.

“Keadaan sangat tenang dan aman. Jemaah tidak cemas, malah mengambil peluang menambah amal ibadat sepanjang Ramadan.

“Jangan meletakkan sangkaan yang bukan-bukan. Apabila syarikat penerbangan menentukan sesuatu penerbangan itu selamat, maka insya-Allah ia selamat,” ujar beliau.

Baca Artikel Berkaitan: Mangsa OKU Dipukul Di Pasar Tani & Keluarga Dapat Tajaan Pakej Umrah Dari Andalusia

Baca Artikel Berkaitan: “Besar Pahala Dia” – Tindakan Mutawif Gigih Pimpin Jemaah Buta Ke Depan Kaabah Raih Pujian [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.