Pijak Al-Quran: Polis Terima 62 Laporan Seluruh Negara, Kertas Siasatan Dirujuk AGC Hari Ini
Kertas siasatan yang dijangka dirujuk Jabatan Peguam Negara (AGC) itu bertujuan untuk mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya, selaras dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak minggu lalu, kes pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa memuat naik foto memijak kitab suci Al-Quran mencetuskan kemarahan orang ramai, bukan sahaja di kalangan umat Islam, malah juga penduduk bukan Muslim di negara ini.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kandungan berkenaan dikenal pasti mengandungi unsur penghinaan terhadap agama Islam serta berpotensi mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian awam.
Sebelum ini, individu terbabit sudah pun memohon maaf atas tindakannya itu dan mengakui berbuat demikian ketika dalam keadaan marah serta dipengaruhi perasaan dendam. Mahasiswa itu turut menyifatkan tindakannya adalah salah dan tidak beradab.
Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Disyaki Pijak Al-Quran Sudah Ditahan Polis, UMPSA Jalankan Siasatan
Baca Artikel Berkaitan: Biadab & Tidak Boleh Diterima, Pijak Al-Quran Ibarat Pijak Kitab Veda – Sivamalar
Kes Pijak Al-Quran Akan Dirujuk AGC
Semalam (1 Mac), Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dalam satu kenyataan di laman Facebook memaklumkan bahawa kes pelajar yang ditahan kerana memijak al-Quran akan dirujuk Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini (2 Mac) untuk mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya.
Tindakan itu selaras dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, suspek disambung reman tiga hari lagi sehingga 3 Mac ini selepas tempoh reman tamat kelmarin (28 Februari).
Menurut Yahaya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 62 laporan seluruh negara berhubung penularan foto memaparkan al-Quran yang dipijak dan dimuat naik di platform media sosial.
“Setakat ini, 43 saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Polis Minta Orang Ramai Henti Sebar Spekulasi
Kes ini diklasifikasikan dan disiasat di bawah:
- Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948
- Seksyen 298 Kanun Keseksaan
- Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Dalam pada itu, polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan dan menjejaskan kententeraman awam serta sensitiviti agama.
“PDRM akan menjalankan siasatan secara telus, profesional dan adil serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian dan keamanan negara,” katanya.
“Siapa Kata Tidak Ada Tindakan” – Anwar Ibrahim
Sebelum ini, ramai pengguna media sosial meluahkan rasa berang dan ada juga yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan tegas terhadap suspek. Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran semalam telah tampil membidas dakwaan berkenaan.
Jelas beliau, prinsip kerajaan adalah jelas iaitu tidak sesekali mengizinkan sesiapa menghina Al-Quran, apatah lagi memperlekehkannya.
Malah tidak akan ada unsur kompromi dalam mengambil tindakan tegas namun langkahnya mesti menurut jalur undang-undang.
“Negara ini negara hukum. Kita tidak boleh ketepikan fasal undang-undang dalam tindakan. Islam agama Persekutuan dan kita tidak boleh pandang ringan terhadap apa-apa unsur penghinaan.
“Bukan sahaja terhadap Islam, tetapi juga terhadap agama-agama (lain) di negara kita untuk menjaga keharmonian ini. Sebab itu bila ada umpamanya laporan mengenai penghinaan memijak al-Quran. Siapa kata tidak ada tindakan? Ada, jangan tunjuk kita gopoh dan tidak sabar. Polis telah ambil tindakan, telah menangkap yang berkenaan.
“Kemudian lakukan siasatan. Apakah dia siuman atau tidak? Apakah dia melanggar hukum atau tidak? Jangan kita buat hukuman. Kenyataan pertama yang paling jelas apa? Tidak boleh sama sekali mengizinkan sesiapa sahaja untuk menghina al-Quran, apa lagi memijak,” katanya.
Anwar Tepis Dakwaan Kerajaan Tidak Ambil Tindakan
Malah dalam satu hantaran di laman Threads sebelum ini, Anwar turut menyebut mengenai ‘tiada tindakan’ di akaun Threads miliknya.
Menerusi hantaran tersebut, Anwar berkata, ”Melalak ‘tiada tindakan’ tidak menjadikannya benar. Negara ini ditadbir oleh undang-undang, bukan emosi dan spekulasi di ruangan komen.”
Posting berkenaan bagaimanapun menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna Threads di mana rata-rata mengkiritik penggunaan ayat yang digunakan beliau.
View on Threads


