Anwar Ibrahim Kecam Pembunuhan Khamenei, Sifatkan Asia Barat Di Ambang Krisis Besar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan kebimbangan terhadap kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Iran, negara-negara Teluk dan seluruh rantau Asia Barat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, media di Iran telah mengesahkan kematian pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan bersama oleh rejim Zionis dan Amerika Syarikat (AS), pada 28 Februari lalu.
Memetik Utusan Malaysia, kematian pemimpin tertinggi Iran yang berusia 86 tahun itu diumumkan pada jam 5 pagi waktu tempatan sewaktu saluran berkenaan menyiarkan imej arkib dengan jalur hitam sebagai tanda berkabung.
Susulan daripada kematian Khamenei, Iran juga mengumumkan tempoh berkabung selama 40 hari serta tujuh hari cuti umum.
PM kecam pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Khamenei
Terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan Khamenei.
Beliau juga menyifatkan tindakan berkenaan turut meletakkan Asia Barat di ambang ketidakstabilan yang serius serta berpanjangan.
Tegasnya, Malaysia mengecam tanpa sebarang pengecualian tindakan terbabit selain turut menyampaikan ucapan takziah kepada Republik Islam Iran dan seluruh rakyatnya atas kematian Khamenei.
Perlu sedar kesan yang akan berlaku jika ada yang rasa berpuas hati menyambut kematian Khamenei
Kata Anwar lagi, mana-mana pihak yang menyambut kematian pemimpin tertinggi Iran berkenaan dengan rasa puas hati hendaklah sedar kesan yang akan berlaku ekoran perbuatan tersebut.
“Ancaman berbentuk eksistensial jarang sekali menghasilkan reaksi yang boleh dijangka.
“Tindakan menyasarkan seorang ketua negara secara sengaja mencipta duluan berbahaya dan melemahkan norma dan prinsip yang menjadi tunjang kepada aturan antarabangsa,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook, lapor Kosmo.
Gesa Iran bertindak balas dengan penuh kawalan dan tak ambil langkah cetuskan ketegangan lebih besar
Dalam masa sama, Anwar turut menggesa pihak berkuasa Iran untuk bertindak balas dengan penuh kawalan serta tidak mengambil langkah yang mengundang ketegangan lebih besar.
Malaysia juga akan menyokong kenyataan yang dikeluarkan negara-negara yang prihatin yang menyeru semua pihak agar berundur daripada peningkatan selanjutnya.
Zahirkan kebimbangan terhadapa keselamatan rakyat Malaysia
Anwar Ibrahim turut menzahirkan kembimbangannya terhadap kebajikan serta keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Iran, negara-negara Teluk termasuk seluruh rantau Asia Barat.
“Kepada semua rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas, kerajaan sedang mengambil setiap langkah untuk memastikan perlindungan anda.
“Misi kami telah diberikan mandat dan sumber penuh untuk membantu anda.
“Kerajaan akan segera menilai kesan ekonomi ekoran konflik tersebut, termasuk risiko ruang udara dan kebebasan navigasi menerusi Selat Hormuz,” ujarnya lagi.
Menurutnya lagi keselamatan perdagangan dan tenaga Malaysia terbabit secara langsung, dan kerajaan akan bertindak sebagaimana yang diperlukan untuk melindung kepentingan negara.
Malaysia seru gencatan senjata segera, krisis tak boleh selesai dengan keganasan
Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia menyeru gencatan senjata segera dan perlindungan orang awam.
“Krisis ini tidak boleh diselesaikan dengan menggunakan kekerasan. Ia memerlukan diplomasi, kawalan diri serta kemahuan politik.”
Serangan rejim Zionis kepada Republik Islam Iran dah langgar kedaulatan sebuah negara
Dalam pada itu Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menyifatkan tindakan rejim Zionis yang melancaran serangan terhadap Republik Islam Iran sebagai perkara yang membimbangkan dan berisiko mencetuskan ketegangan lebih besar di rantau berkenaan.
“Serangan ini jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva, resolusi-resolusi Majlis Keselamatan PBB, Perhimpunan Agong PBB, dan prinsip-prinsip piagam PBB.
“Disamping itu serangan ini juga telah melanggar kedaulatan sebuah negara serta mengancam keselamatan dan kestabilan serantau. Apa jua alasan yang diberikan, kekerasan bukanlah jalan penyelesaian,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Jelasnya lagi tindakan agresif itu hanya akan mengundang kepada penderitaan rakyat yang tak berdosa selain membuka ruang kepada konflik yang lebih luas.
Ujarnya dunia ketika ini tidak memerlukan peperangan baharu. Malah beliau menegaskan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis itu serta serangan berkenaan hendaklah dihentikan dengan segera.
“Rundingan perlu diadakan demi menjamin keamanan serta kestabilan sejagat.”



