fbpx
Now Reading
Bukan Isu Dakwah, Tindakan DBKL Terhadap Street Dakwah MRM Kerana Aduan Kanopi – Hannah Yeoh [Video]

Bukan Isu Dakwah, Tindakan DBKL Terhadap Street Dakwah MRM Kerana Aduan Kanopi – Hannah Yeoh [Video]

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, bahan-bahan yang dirampas dari reruai Street Dakwah seperti kerusi, meja lipat, khemah, troli beroda juga telah diambil balik oleh Multiracial Reverted Muslims (MRM). Malah, tiada bahan agama yang dirampas DBKL.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada 17 Februari lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menutup dan merampas reruai aktiviti dakwah jalanan dikenali sebagai Street Dakwah yang dikendalikan oleh organisasi bukan kerajaan Multiracial Reverted Muslims (MRM).

Menurut MRM, mereka sebelum ini pernah dimaklumkan tidak perlu memohon sebarang lesen atau permit bagi aktiviti Street Dakwah kerana tidak melakukan aktiviti jualan mahupun mengganggu lalu lintas.

Media bagaimanapun melaporkan tindakan itu diambil kerana terdapat pelanggaran peraturan berkaitan pemasangan khemah yang terletak di Jalan Bukit Bintang itu, kerana dipasang di atas laluan pejalan kaki.

Tindakan Terhadap Reruai Street Dakwah Diambil Bukan Berkaitan Isu Dakwah

Terbaharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, menjelaskan tindakan tersebut diambil selepas menerima aduan awam mengenai pemasangan kanopi di lokasi berkenaan dan bukanlah berkaitan isu dakwah.

Beliau berkata pihak DBKL sebelum ini telah hadir ke lokasi berkenaan bagi meninjau keadaan serta dakwaan berlakunya vandalisme.

Tambahnya lagi, pasukan penguat kuasa yang menunggu sekitar 30 minit sewaktu berada di sana mengambil tindakan lanjut kerana tiada wakil yang tampil.

“Bahan-bahan (yang dirampas) ini seperti kerusi, meja lipat, khemah, troli beroda juga telah diambil balik oleh Multiracial Reverted Muslims (MRM). Tidak ada bahan agama yang dirampas oleh DBKL,” katanya dipetik Awani hari ini (26 Februari).

Beliau berkata demikian demi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai tindakan penguatkuasaan DBKL terhadap tapak Street Dakwah.

Pegawai DBKL Diganggu Kerana Jalankan Tugas

Mengulas isu sama, Hannah berkata sentimen yang dimainkan oleh sesetengah pihak berhubung tindakan penguatkuasaan tersebut telah menyebabkan kesan buruk kepada pegawai DBKL yang bertugas ketika itu.

“Pegawai tersebut telah diganggu di akaun Facebook sehingga beliau begitu terkesan dan terpaksa menutup akaun media sosial beliau dan situasi ini yang menyedihkan saya kerana banyak persepsi yang mereka mainkan, ini tidak wajar berlaku.

“Hal ini kerana, apabila pegawai penguat kuasa terima aduan, mereka turun ke padang, mereka kena laksanakan tanggungjawab mereka tanpa rasa takut dan sebagai penjawat awam (mereka bertugas dengan) jujur,” katanya lagi.

Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa bersangka baik dan tidak menyebarkan fitnah terhadap pihak terlibat.

JWP Sokong Usaha Dakwah – Hannah Yeoh

Dalam masa sama, Hannah menjelaskan segala usaha dakwah disokong oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), tetapi perlu mengikut peraturan yang ditetapkan.

Tambah beliau lagi, DBKL sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, berhubung isu garis panduan bagi aktiviti dakwah.

“(Peranan) DBKL pula melihat lokasi kalau nak pasang kanopi, ada akta yang mereka kena ikut, iaitu Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Jadi, agensi yang berlainan melihat isu berlainan.

“Aktiviti dakwah kalau sampai atas jalan raya yang melibatkan trafik, polis pula yang akan turun… JAKIM lihat juga (aspek) waktu untuk menjalankan aktiviti dakwah tersebut dan satu lagi sama ada aktiviti dakwah itu menyentuh isu sensitiviti agama yang lain ataupun tidak,” ujarnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.