Isu Gangguan LRT Kelana Jaya: Anthony Loke Arah APAD Siasat, Gesa Prasarana Beri Penjelasan [Video]
Sejak dua hari lalu, kecoh di media sosial apabila pengguna LRT laluan Kelana Jaya meluahkan rasa letih dan stres kerana terpaksa menunggu lama akibat tren yang tergendala.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak hari Isnin lalu (23 Februari), pengguna perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya meluahkan rasa kecewa apabila tren mengalami gangguan berulang kali sehingga semalam (24 Februari). Bukan sahaja pada waktu pagi, malah berlaku ketika waktu puncak (peak hours) selepas pulang dari kerja.
Ia bukan sahaja melambatkan perjalanan pengguna ke lokasi destinasi, bahkan ramai yang mengadu letih kerana terpaksa bersesak semasa bulan puasa ini. Dalam masa sama, ada juga penumpang yang dikatakan pitam kerana terpaksa berhimpit dalam kumpulan individu yang ramai di stesen LRT Pasar Seni.
Antara stesen LRT yang dilaporkan terkesan ialah Stesen Sri Rampai, Pasar Seni, Masjid Jamek, KLCC, Taman Paramount, dan beberapa stesen lain.
View on Threads
View on Threads
Anthony Loke Ulas Isu Gangguan LRT
Mengambil maklum aduan orang ramai, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) supaya menyiasat insiden gangguan berulang yang berlaku pada awal Ramadan ini.
Tambah Loke, beliau juga telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu dalam mesyuarat pasca-Kabinet berserta pelan tindakan pemulihan segera.
“Saya memandang serius beberapa insiden gangguan membabitkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya pada awal Ramadan ini. Rakyat berhak menuntut mutu perkhidmatan yang lebih efisien dan boleh diharap.
“Saya telah mengarahkan CEO Prasarana untuk memberi penjelasan dalam mesyuarat pasca-Kabinet berserta pelan tindakan pemulihan segera.
“Saya juga akan mengarahkan APAD untuk menyiasat insiden berkenaan dan mengambil tindakan terhadap Prasarana sekiranya terbukti berlaku kelemahan operasi yang tidak munasabah,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Sukar Beri Notis Awal Jika Gangguan Tidak LRT Tidak Dijangka Berlaku
Dalam pada itu, ramai juga yang mengadu bahawa Rapid KL tidak memberi sebarang notis kepada pengguna tentang kelewatan atau gangguan perkhidmatan LRT.
Pun begitu Loke pada Isnin (23 Februari) lalu menjelaskan bahawa tidak semua gangguan dapat dimaklumkan lebih awal kerana kebanyakannya melibatkan masalah teknikal atau sistem isyarat yang berlaku secara tiba-tiba.
“Bagaimana hendak beri notis jika gangguan berlaku secara tidak dijangka? Ini bukan gangguan biasa yang dirancang. Jika ia melibatkan penyelenggaraan berkala atau perubahan waktu operasi, notis awal memang akan diberikan kepada orang ramai,” katanya di Dewan Rakyat.

Kekerapan Gangguan LRT Menurun Sejak Beberapa Tahun Ini – Anthony Loke
Kementerian Pengangkutan turut menegaskan bahawa kekerapan gangguan perkhidmatan tren LRT menunjukkan penurunan ketara dalam tempoh 2022 hingga 2025, sekaligus menepis dakwaan tiada penambahbaikan dilakukan pihak mereka.
“Memang ada penambahbaikan berterusan, dan ini menunjukkan bahawa langkah mitigasi yang diambil oleh pihak Prasarana untuk memastikan penyelenggaraan ini dibuat dengan lebih baik, dan ia telah pun membuahkan hasil.
“Namun begitu, kita tahu (pengguna) belum berpuas hati dan kita (kementerian) pun belum berpuas hati. Untuk mengatakan bahawa tidak ada penambahbaikan langsung, itu satu kenyataan yang tidak adil,” ujarnya.



