12 Anggota Polis Ditahan, Disyaki Terlibat Kes Rompakan Kripto RM200,000 Babit Warga China
Menurut laporan media, mangsa mendakwa diugut oleh anggota polis yang menyerbu banglo yang disewa bahawa mereka akan ditahan dan dikenakan tindakan imigresen jika tidak membuat bayaran RM400,000.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
12 anggota polis termasuk empat pegawai ditahan kerana disyaki terlibat dalam satu rompakan berkumpulan ke atas sekumpulan warga China membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto.
Kesemua mereka yang ditahan masing-masing dengan pangkat asisten superintendan, inspektor, sarjan, enam koperal, dua lans koperal dan seorang konstabel.
Kesemua suspek yang berusia antara 24 hingga 47 tahun telah ditahan oleh pasukan khas dari ibu pejabat polis daerah (IPD) Kajang dalam beberapa tangkapan bersepadu yang dijalankan selama dua hari.
Warga China Dakwa Dipaksa Pindahkan Mata Wang Kripto Selepas Banglo Diserbu Polis
Berdasarkan laporan media, seorang juru ukur pasaran warga China telah membuat laporan polis yang mendakwa dirinya bersama tujuh rakan dipaksa memindahkan mata wang kripto agar dibebaskan selepas banglo yang disewa di Country Heights, Kajang diserbu polis.
Menurut sumber dipetik New Straits Times, penghuni banglo dua tingkat itu disyaki menjalankan operasi penipuan sebelum kediaman itu diserbu oleh sepasukan pegawai daripada unit jenayah komersial pada 11.10 malam, 5 Februari.
Tambahnya lagi, pegawai polis terbabit memaklumkan bahawa mereka sedang menjalankan operasi anti-penipuan yang digelar ‘Op Taring’ dan mengesyaki penghuni di lokasi berkenaan terbabit kegiatan penipuan secara dalam talian yang mempunyai kaitan dengan sindiket di Kemboja.
“Selepas memeriksa peranti elektronik dan pasport mereka, tiada bukti kegiatan jenayah ditemui. Tiada rekod juga menunjukkan pengadu dan rakannya pernah ke Kemboja,” kata sumber itu kepada New Straits Times.
Mangsa Mendakwa Diugut Akan Ditahan & Dikenakan Tindakan Imigresen
Menurut maklumat sumber, polis dimaklumkan oleh kumpulan itu bahawa mereka merupakan juru ukur pasaran yang bekerja dengan sebuah syarikat berpangkalan di China.
Mereka bagaimanapun mendakwa diugut akan ditahan dan dikenakan tindakan imigresen jika tidak membayar RM400,000 kepada polis terbabit.
Seorang daripada mereka kemudiannya menghubungi majikan di China kerana bimbangkan keselamatan diri, apatah lagi dengan terdapatnya tiga wanita dalam kalangan mereka.
“Selepas rundingan, suspek didakwa bersetuju menerima bayaran 50,000 USDT (mata wang kripto tether), yang dipindahkan ke alamat dompet kripto diberikan suspek. Bayaran dibuat pada awal pagi dan hanya selepas transaksi disahkan, barulah pegawai polis itu meninggalkan premis,” dakwa sumber.
Katanya lagi, suspek sebelum beredar turut didakwa mengarahkan penghuni rumah untuk mengosongkan lokasi itu dalam tempoh dua hari jika tidak mahu berdepan tindakan lanjut.
Kesemua Suspek Ditahan Didakwa Berada Di Lokasi Ketika Operasi Dijalankan – Sumber
Tambah sumber lagi, tujuh anggota polis dari unit Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan pencegahan jenayah daerah telah ditahan dalam siasatan awal.
“Mereka termasuk pegawai dan anggota dengan tempoh perkhidmatan antara dua hingga 27 tahun, memegang jawatan seperti inspektor, sarjan dan koperal yang bertugas menjalankan risikan dan operasi.
“Siasatan lanjut dan risikan mendedahkan pembabitan lima lagi anggota polis termasuk empat yang bertugas di unit siber dan forensik digital di JSJK Bukit Aman yang ditahan dalam operasi susulan pada 8 Februari lalu,” katanya.
Kesemua mereka yang bertugas di unit siber dan forensik digital itu berusia antara 35 hingga 44 tahun dengan tempoh perkhidmatan antara enam hingga 22 tahun.
Sumber turut memaklumkan bahawa kesemua 12 suspek dipercayai berada di lokasi ketika operasi dijalankan di banglo tersebut.
“Polis turut merampas beberapa telefon bimbit pelbagai jenama, kad SIM dan dokumen yang dipercayai berkaitan operasi berkenaan.
“Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Kajang dan Bandar Baru Bangi bagi membantu siasatan, termasuk menjejak transaksi mata wang kripto berkenaan. Tempoh reman kedua-dua kumpulan suspek dilaporkan dilanjutkan sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan,” katanya.
Sumber berkata polis memandang serius dakwaan berkenaan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan.



