503 Kes Baharu Tibi Dicatat, KKM Gesa Orang Ramai Amalkan Langkah Pencegahan
Tiga negeri dengan jumlah kes Tibi tertinggi di dalam negara ialah Sabah (614 kes), Selangor (476 kes) dan Sarawak (257 kes).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada 25 Januari lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesahkan satu kluster wabak Tuberkulosis atau Tibi di sebuah lokaliti di Kota Tinggi, Johor.
Kes di dalam negara dilaporkan semakin meningkat dengan 10 kluster baharu dikesan di tujuh negeri setakat 7 Februari lalu dan jumlah tertinggi kes dicatatkan di Johor.
Sebagai info, wabak Tibi boleh merebak menerusi udara, terutama sekali melalui kontak rapat dengan individu yang dijangkiti.
Baca Artikel Berkaitan: JKNJ Sahkan Satu Kluster Tibi Di Kota Tinggi, 804 Disaring & 33 Dikesan Positif
503 Kes Baharu Tibi Dikesan, Tertinggi Di Sabah
Terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa sebanyak 503 kes baharu Tibi yang dikesan sehingga Minggu Epidemologi ke-5 (ME 5/2026).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes Tibi yang dicatatkan di seluruh negara sebanyak 2,571 kes, dengan bilangan tertinggi dicatatkan di negeri Sabah iaitu sebanyak 614 kes, diikuti Selangor dengan 476 kes dan Sarawak (257).
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial semalam (15 Februari), KKM mendedahkan pecahan bilangan kes mengikut negeri seperti berikut:
- Sabah – 614 kes (23.88%)
- Selangor – 476 kes (18.51%)
- Sarawak – 257 kes (10.00%)
- Johor – 233 kes (9.06%)
- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya – 202 kes (7.86%)
- Pulau Pinang – 148 kes (5.76%)
- Kedah – 144 kes (5.60%)
- Perak – 127 kes (4.94%)
- Kelantan – 96 kes (3.73%)
- Pahang – 81 kes (3.15%)
- Terengganu – 60 kes (2.33%)
- Negeri Sembilan – 58 kes (2.26%)
- Melaka – 42 kes (1.63%)
- Perlis – 17 kes (0.66%)
- Wilayah Persekutuan Labuan – 16 kes (0.62%)
Amalkan Langkah Pencegahan Tibi Menjelang Musim Perayaan – KKM
Dalam masa sama, KKM turut menasihati orang ramai agar lebih peka terhadap pencegahan penyakit Tibi, apatah lagi dengan menjelangnya musim perayaan dan cuti panjang.
Orang ramai diingatkan agar mengamalkan langkah pencegahan termasuk memakai pelitup muka di kawasan yang sesak serta mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul.
Perhatikan tanda-tanda gejala Tibi seperti:
- Batuk berpanjangan
- Demam
- Hilang selera makan
- Susut berat badan
“Individu yang mengalami gejala digesa untuk segera menjalani saringan di fasiliti kesihatan terdekat.
“Langkah ini bukan sahaja berteraskan prinsip penilaian risiko kendiri, malah merupakan tanggungjawab sosial yang amat penting bagi melindungi diri, keluarga, serta komuniti daripada risiko jangkitan penyakit berjangkit,” katanya.
Langkah-Langkah Pencegahan Wabak Tibi
Menurut Hospital Pantai, wabak Tibi juga boleh dicegah dengan mengambil langkah-langkah lain termasuk:
- Pengesanan dan rawatan peringkat awal – Terus dapatkan rawatan jika alami batuk berterusan, demam serta penurunan berat badan yang tak dapat dijelaskan. Rawatan awal untuk Tibi dapat meningkatkan peluang untuk pemulihan dan mencegah penyebaran penyakit.
- Buat ujian – Individu yang berisiko tinggi seperti mempunyai HIV atau kontak rapat dengan Tibi harus menjalani ujian tuberkulosis.
- Lengkapkan rawatan yang disarankan – Pastikan individu terbabit melengkapkan keseluruhan ubat anti-tuberkulosis seperti yang telah diarankan oleh doktor anda.
- Vaksinasi – Vaksin BCG, yang berasal dari strain hidup Mycobacterium bovis, telah dibangunkan oleh Calmette dan Guérin sebagai vaksin yang dilemahkan untuk mencegah tuberkulosis.
Di samping itu, individu yang dijangkiti penyakit Tibi juga perlu diasingkan daripada individu lain bagi mengelakkan wabak daripada merebak.
Baca Artikel Berkaitan: Batuk 2 Minggu Tanpa Henti? Ini Simptom Tibi Yang Anda Perlu Tahu



