Isu Saham: Azam Baki Hantar LOD, Tuntut Ganti Rugi RM100 Juta Dari Bloomberg
Menurut firma guaman Tetuan Zain Megat & Murad Yang mewakili Ketua Pengarah SPRM itu, laporan dan sindiran diterbitkan Bloomberg bersifat libel, tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memulakan tindakan undang-undang terhadap laporan portal berita antarabangsa, Bloomberg yang sebelum ini disifatkannya sebagai mengelirukan, berunsur fitnah dan sekaligus menjejaskan reputasi beliau serta integriti suruhanjaya tersebut.
Firma guaman Tetuan Zain Megat & Murad yang mewakili Azam berkata, semua langkah perundangan akan diambil susulan laporan tersebut yang telah diulang terbit serta disiarkan semula oleh media lain, sehingga menyebabkan dakwaan itu tersebar secara meluas.
Tambah firma itu lagi, laporan dan sindiran dalam artikel berkenaan bersifat libel, tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.
Azam Patuh Semua Undang-undang Deklarasi Aset – Peguam
Sehubungan itu, pihak Azam menghantar surat tuntutan (LOD) menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta atas dakwaan yang didakwa menjejaskan reputasi dan kedudukan profesional beliau dalam SPRM.
“Azam tidak melanggar sebarang undang-undang, peraturan atau keperluan perkhidmatan awam berhubung perkara yang dilaporkan.
“Pada setiap masa, beliau mematuhi sepenuhnya semua kewajipan deklarasi aset yang terpakai ke atas penjawat awam.
“Sebarang perolehan dan seterusnya pelupusan saham berkenaan telah diisytiharkan sewajarnya menerusi saluran rasmi ditetapkan, termasuk Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS), sejajar keperluan jabatan perkhidmatan awam,” kata firma Tetuan Zain Megat & Murad.
Saham Dah Dilupuskan Sebelum Penerbitan Berita Dari Bloomberg
Mengulas lanjut mengenai dakwaan itu, peguam Azam menjelaskan bahawa saham yang dirujuk dalam laporan berita terbabit telah pun dilupuskan sebelum penerbitan dan ia boleh disahkan menerusi deklarasi serta rekod dokumen sedia ada.
Dalam perkembangan sama, peguam firma tersebut Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie memaklumkan bahawa surat tuntutan itu telah dikemukakan kepada ibu pejabat Bloomberg di New York dan Kuala Lumpur pada Khamis (12 Februari).
Walau bagaimanapun, beliau tidak boleh mendedahkan butiran lanjut mengenai surat yang dihantar.
Pada Rabu lalu (11 Februari), Azam dalam satu sidang media mengarahkan peguamnya untuk mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada agensi berita antarabangsa, Bloomberg ekoran laporan yang disifatkannya sebagai ‘mengelirukan’ dan ‘berunsur fitnah’ berhubung urus niaga saham lamanya dalam Velocity Capital Bhd.
Menerusi laporan itu, Bloomberg mendakwa Azam memegang 17.7 juta saham Velocity Capital yang dianggarkan bernilai hampir RM800,000.
Bloomberg juga dilaporkan mendakwa Azam enggan menjawab pertanyaan mengenai perkara itu namun beliau menegaskan sudah membalas soalan berkenaan pada 14 Januari, lapor Sinar Harian.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli semalam (12 Februari) menzahirkan rasa terkejut berhubung penjelasan Azam berhubung pemilikan sahamnya.
Bekas Menteri Ekonomi itu menerusi satu hantaran video di Facebook berkata, Azam Baki mungkin tidak faham konsep saham atau terkeliru antara saham dan modal berbayar.
Jelas beliau, penjelasan Azam bahawa pembelian sahamnya tidak melibatkan modal berbayar seolah-olah menggambarkan KP SPRM itu tidak memahami konsep saham, meskipun dia mengetuai agensi yang bertanggung jawab menyiasat banyak jenayah kolar putih melibatkan transaksi saham dan kewangan yang kompleks.
Baca Artikel Berkaitan: “Saya Tak Boleh Brain Macam Mana KP SPRM Boleh Keliru Pasal Saham?” – Rafizi Ramli [Video]



