8 Ahli Parlimen PKR Termasuk Rafizi Gesa PM Gantung Tugas Azam Baki, Segerakan Siasatan Bebas
Tegas mereka, dakwaan-dakwaan yang dibuat mengenai salah laku dan penyelewengan kuasa di dalam agensi- agensi kerajaan, seperti yang dilaporkan oleh media antarabangsa Bloomberg minggu ini, adalah sangat serius.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Lapan Ahli Parlimen blok kerajaan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) PKR menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggantung tugas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.
Kelapan-lapan mereka termasuk Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi satu kenyataan bersama berkata, adalah tidak berbaloi untuk Pakatan Harapan dan Anwar dihukum atas tuduhan-tuduhan yang melibatkan seorang penjawat awam seperti Azam Baki.
Kesemua Ahli Parlimen yang dimaksudkan adalah:
- Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli
- Ahli Parlimen Subang, Wong Chen
- Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail
- Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad
- Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung
- Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan
- Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing
- Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan
Tegas mereka, dakwaan-dakwaan yang dibuat mengenai salah laku dan penyelewengan kuasa di dalam agensi- agensi kerajaan, seperti yang dilaporkan oleh media antarabangsa Bloomberg minggu ini, adalah sangat serius.
Mereka turut menyenaraikan beberapa contoh butiran-butiran yang dilaporkan oleh Bloomberg seperti:
- Seorang individu bernama Victor Chin yang disiasat atas tuduhan terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM500 juta dengan menggunakan syarikat-syarikat senaraian awam di Bursa untuk mencuci hasil dari kegiatan kongsi gelap. Dakwa mereka, bagi kes ini, ia telah disiasat oleh LHDN bersama SPRM pada tahun 2021 Walau bagaimana pun, kes itu berakhir tanpa pendakwaan dan sebahagian besar dari wang RM500 juta itu dikembalikan kepada Victor Chin.
- Dakwaan yang Tan Sri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM telah campur tangan dalam satu kes polis melibatkan seorang bernama Andy Lim yang dikatakan kenalan rapat beliau, berhubung kes polis melibatkan senjata api. Kes itu berakhir dengan senjata api dipulangkan kepada Andy Lim tanpa ada sebarang pendakwaan.
- Dakwaan oleh Bloomberg bahawa SPRM bersekongkol dengan sekumpulan ahli perniagaan dengan menyalahgunakan kuasa untuk mengugut, menekan dan mendakwa ahli-ahli perniagaan lain dengan tujuan memaksa syarikat-syarikat diserahkan kepada ahli perniagaan tertentu seperti Victor Chin. Tambah mereka Bloomberg mendedahkan bahawa persekongkolan ini melibatkan bayaran-bayaran sehingga mencecah jutaan ringgit setiap satu.
“Ia menjadi mimpi ngeri buat rakyat Malaysia yang pernah melalui episod seperti ini hampir sepuluh tahun lalu di kemuncak skandal 1MDB.
“Kami percaya rakyat akan benar-benar marah apabila mengetahui dengan lebih mendalam bentuk-bentuk penyelewengan yang berlaku. Setakat ini, laporan media tempatan hanya menyebut perihal salah laku secara umum, tanpa menceritakan setiap kes dan bukti yang didedahkan di dalam siri laporan tersebut.”
Wajar satu siasatan jenayah dibuka
Tambah kenyataan itu, setiap pendedahan yang dibuat oleh Bloomberg mewajarkan satu siasatan jenayah dibuka dengan segera.
“Paling membimbangkan, seorang ahli perniagaan yang didedahkan oleh Bloomberg dituduh terlibat dalam kegiatan mencuci wang haram dari hasil jenayah kongsi gelap menggunakan sebuah syarikat bernama MMAG Holdings Berhad. Seperti yang pernah didedahkan sebelum ini, MMAG Holdings Berhad pernah dikuasai oleh Datuk Seri Farhash Wafa Salvador, bekas Setiausaha Politik Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Lebih-lebih lagi, pendedahan-pendedahan itu menunjukkan ada salah guna kuasa dan rasuah yang berleluasa di dalam agensi-agensi penguatkuasaan negara yang memerlukan satu siasatan menyeluruh, termasuklah dakwaan saling kait SPRM dengan ahli perniagaan yang dituduh rapat dengan kumpulan jenayah kongsi gelap.”
Mereka dalam masa sama turut mengingatkan Anwar untuk tidak mengulangi kesilapan-kesilapan yang pernah dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu skandal 1MDB dahulu.
“Seperti yang pernah dilaungkan oleh Anwar sendiri sebelum ini, rakyat adalah hakim negara.
“Namun, sekiranya Azam Baki atau Anwar Ibrahim berpandangan taktik-taktik mengelak, intimidasi dan menutup perkara ini akan berjaya memperlahankan usaha kami menuntut agar dakwaan-dakwaan terhadap SPRM disiasat segara, kami mahu memaklumkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab kami menyuarakan tuntutan-tuntutan ini bagi pihak rakyat.”
Tegas kenyataan itu lagi, bagi memastikan dakwaan-dakwaan yang didedahkan Bloomberg tidak ditutup begitu sahaja tanpa ada satu siasatan menyeluruh yang bebas dan telus, kesemua lapan Ahli Parlimen berkenaan akan mengambil beberapa tindakan bermula minggu depan sehinggalah “kerajaan memberi reaksi positif.”
Tindakan yang akan diambil adalah:
- Menulis kepada semua ahli parlimen (yang bukan menteri dan timbalan menteri) merentas parti bermula minggu depan untuk mendapatkan persetujuan mereka kepada desakan supaya Tan Sri Azam Baki digantung serta-merta dan satu siasatan bebas dimulakan segera
- Menggesa supaya setiap ahli parlimen tidak kira parti kembali ke kawasan masing-masing dan memulakan sesi penerangan mengenai dakwaan-dakwaan ini kepada penduduk di kawasan mereka
- Menulis kepada pimpinan DAP dan AMANAH supaya menggunakan kedudukan dan pengaruh mereka di dalam kerajaan untuk menekan Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya bersetuju untuk menggantung Tan Sri Azam Baki dan memulakan segera satu siasatan bebas
- Menulis kepada BERSIH untuk mencadangkan supaya satu perhimpunan aman diadakan dalam masa terdekat yang bersesuaian untuk membolehkan rakyat menzahirkan bantahan mereka mengenai penyelewengan yang berlaku di dalam SPRM
Rafizi mahu buat laporan polis terhadap Azam Baki
Menurut Rafizi pula, beliau akan membuat satu laporan polis terhadap Tan Sri Azam Baki sebagai susulan kepada dakwaan dalam laporan Bloomberg bahawa pegawai kanan SPRM itu telah campur tangan dalam satu kes melibatkan senjata api.
Jelasnya tindakan ini diambil agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menyiasat dengan sebaiknya.
BACA ARTIKEL BERKAITAN:
I steer BuzzKini's editorial voice and online presence, consulting senior leadership when it matters while enjoying music, books, and the outdoors.