Non Muslim Tak Boleh Sebut Istilah & Kalimah Islam, Sudah Ada Keputusan Dari MKI – Mufti Kedah
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang meminta semua pihak agar menghormati keputusan larangan penggunaan kalimah dan istilah khusus berkaitan Islam oleh masyarakat non Muslim yang berkuat kuasa sejak 2008.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak kebelakangan ini, hangat dibincangkan isu masyarakat bukan Islam yang menyebut istilah berkaitan Islam atau mengucapkan kalimah-kalimah suci.
Ini susulan tindakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah yang menegur Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kerana acap kali menggunakan kalimah sinonim dengan umat Islam seperti ‘Alhamdulilah’ dan ‘Insya-Allah’ dalam ucapannya di Dewan Rakyat.
Teguran itu dibuat oleh Siti Zailah yang menyifatkan tindakan Kor Ming seperti mempermainkan kesucian Islam serta boleh mengelirukan masyarakat non Muslim di dalam negara.
Baca Artikel Berkaitan: Dipersoal Kerana Sering Guna Kalimah Orang Islam, Nga Kor Ming Beri Penjelasan [Video]
MKI Putuskan Larangan Masyarakat Bukan Islam Guna Kalimah & Istilah Berkaitan Islam – Mufti Kedah
Terbaharu, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang, mengingatkan bahawa Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) telah memutuskan larangan penggunaan kalimah dan istilah khusus berkaitan Islam oleh masyarakat non Muslim.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak agar menghormati keputusan yang masih berkuat kuasa sejak 2008 lagi.
Memetik Berita Harian, beliau berkata boleh berlakunya masalah dan polemik antara umat Islam dan non Muslim sekiranya keputusan itu tidak dipatuhi.
“Sebenarnya sudah ada keputusan yang dibuat di peringkat kebangsaan dalam muzakarah MKI yang melarang beberapa istilah dalam agama kita untuk digunakan oleh bukan Islam. Sudah ada (fatwa), cuma sekarang timbul balik hingga jadi polemik. Jadi kita sepatutnya patuh pada keputusan yang dibuat itu dan diharap tidak berlaku lagi apa yang berlaku (baru-baru ini).”
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.
Keputusan Larangan Turut Dipersembah & Dipersetujui Majlis Raja-Raja
Tambah Syeikh Fadzil lagi, keputusan mengenai larangan itu juga telah dipersembahkan kepada dan dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja, bukan sekadar diluluskan di peringkat kebangsaan.
Menerusi larangan tersebut, orang bukan Islam dilarang daripada menggunakan istilah dan kalimah berkaitan Islam.
“Ada kalimah dan istilah yang mereka memang tidak boleh guna sebab sudah ada keputusannya mengenainya dibuat.
“Maka kita berharap saudara kita terutama bukan Islam patuhilah keputusan itu, walaupun mereka duduk dalam masyarakat kita dan mereka biasa, tahu dan pandai guna kalimah tertentu, tapi mereka kena mematuhi keputusan itu agar tidak timbul polemik,” katanya.
Larangan Ditetapkan Bagi Merujuk Kepada Agama Bukan Islam
Carian kami tidak berjaya menemukan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI yang disebut di atas.
Namun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali Ke-82 pada 5-7 Mei 2008, memutuskan bahawa lafaz ‘Allah’ tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam, termasuk Kristian.
Malah sekitar minggu lalu, Peguam Syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dalam hantaran di Threads, berkata perkataan ‘Alhamdulillah’ adalah antara yang dilarang penggunaannya bagi merujuk agama bukan Islam di kebanyakan negeri, selain Wilayah Persekutuan.
“Kalau orang bukan Islam mengucapkannya bagi merujuk agama bukan Islam, ia adalah suatu kesalahan di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam,” katanya.
Beliau turut berkongsi tangkap layar dipercayai daripada Enakmen tersebut yang memaparkan 25 perkataan dan 10 kalimah yang tidak boleh digunakan oleh non-Muslim bagi merujuk agama bukan Islam.
View on Threads
Istilah & Kalimah Yang Dilarang Digunakan Untuk Rujuk Agama Bukan Islam
Berdasarkan tangkap layar dikongsi Zainul Rijal, perkataan-perkataan di bawah tidak boleh digunakan bagi merujuk agama bukan Islam, iaitu:
- Allah
- Ilahi
- Rasul
- Fatwa
- Firman Allah
- Wahyu
- Iman
- Imam
- Ulama
- Mubaligh
- Dakwah
- Nabi
- Hadith
- Syariah
- Injil
- Sheikh
- Ibadah
- Qiblat
- Salat
- Kaabah
- Haji
- Khalifah
- Kadi
- Mufti
- Wali
Manakala kalimah yang tidak boleh diucapkan oleh seorang non Muslim merujuk agama bukan Islam adalah seperti berikut:
- Subhanallah
- Alhamdulillah
- Lailahaillallah
- Walillahilham
- Allahu Akbar
- Insyaallah
- Astaghfirullahal ‘Azim
- Tabaraka Allah
- Masyaallah
- Lahaula Walaquata Illabillahilaliyil Azim
Penjelasan Para Ulama Tentang Non Muslim Ucap Kalimah Islam
Walaupun terdapat larangan yang ditetapkan oleh MKI, para ulama termasuk Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus, sebelum ini menjelaskan bahawa tiada masalah bagi seorang Muslim menyebut kalimah-kalimah suci Islam.
Namun ia haruslah bukan dengan tujuan untuk mempermainkan kalimah terbabit dan bagi mempersendakan umat Islam.
Dalam masa sama, tindakan wajib diambil ke atas mereka yang menggunakan kalimah terbabit dengan tujuan mempersenda umat Islam.
UAI berkata perkara itu tidak boleh dibiarkan kerana setiap umat Islam diwajibkan untuk menjaga kesucian agama.
Baca Artikel Berkaitan:Boleh Ke Orang Bukan Islam Sebut Alhamdulillah & Astaghfirullah? Ini Penjelasan UAI & Mufti Perlis [Video]


