Wajib Patuhi Undang-undang Pembinaan Rumah Ibadat, Jangan Politikkan Isu Agama – Agong
Sebelum ini, kecoh di media sosial mengenai isu rumah ibadat yang dibina tanpa mendapat kelulusan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak kebelakangan ini, heboh di media sosial mengenai isu rumah ibadat yang dibina tanpa keizinan di tapak yang tidak sah serta bertentangan dengan undang-undang.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan memberi keizinan terhadap mana-mana pembinaan rumah ibadat yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.
Selain itu, kerajaan negeri Selangor juga akan mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang terlibat agar tidak mengganggu-gugat keharmonian masyarakat.
Jelas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, tindakan terhadap pembinaan rumah ibadat yang tidah sah itu akan dipercepatkan.
Pembangunan Rumah Ibadat Perlu Berlandaskan Undang-undang
Terbaharu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegaskan bahawa semua pihak perlu mematuhi undang-undang ditetapkan berhubung penggunaan tanah serta pembinaan rumah ibadat.
Sultan Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebook bertitah, isu pembinaan kuil yang tidak sah perlu ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja serta tokong.
YDPA mengimbas kembali pengalaman pada Januari 2018 apabila Seri Paduka Baginda bertindak sebagai pendamai dalam menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor secara baik, berhemah dan berlandaskan undang-undang.
“Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam.
“Agama Islam menekankan prinsip saling hormat-menghormati antara sesama manusia, dan Islam tidak menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan serta ibadat masing-masing.
“Penganut agama lain juga wajar menunjukkan sikap hormat terhadap Islam. Pendekatan saling menghormati ini penting bagi mengelakkan salah faham, ketegangan dan provokasi, sekali gus memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan budaya,” titah Agong.
Semua pihak juga diminta agar memahami serta menghormati undang-undang negara, di samping menyelesaikan perbezaan menerusi saluran yang sah demi mengekalkan keharmonian, toleransi serta semangat muhibah.
Jangan Politikkan Isu Agama – Sultan Ibrahim
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan agama tidak sepatutnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak yang mampu menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara yang berbilang kaum.
YDPA turut bertitah bahawa Malaysia sebuah negara yang dibina atas asas keharmonian, dan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan kepada undang-undang.
Oleh yang demikian, setiap rakyat bertanggungjawab memelihara nilai-nilai berkenaan demi kepentingan bersama.
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Nasihat Jangan Politikkan Isu Masjid Kristal Bernilai RM22 Juta Tak Boleh Solat Jumaat [Video]



