Lelaki Didenda RM100 Selepas Tular Baling Kon Di Plaza Tol LDP
Tertuduuh telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkelakuan kata-kata ke atas seorang lelaki warga Amerika Syarikat untuk mengaibkan dan membangkitkan kemarahan dengan mengganggu keamanan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, tular satu video memaparkan seorang pemandu telah bertindak membaling kon di Plaza Tol Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).
Dalam video tersebut, awalnya kelihatan lelaki yang membawa Perodua Axia Merah terbabit telah keluar dari kenderaannya dan membaling kon ke arah kereta di hadapannya.
Susulan daripada video tular itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat memaklumkan lelaki berusia 35 tahun berkenaan telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya jam 11 pagi, semalam (10 Februari).
Jelasnya suspek adalah lelaki tempatan dan telah ditahan di lokap IPD Subang Jaya dan kerta siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Shah Alam, lapor Malaysia Gazette.
Lelaki baling kon di Plaza tol didenda
Terbaharu, Mahkamah Majistret Shah Alam telah mengenakan denda RM100 ke atas lelaki, K Kanapathi, 35, kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pemandu warga Amerika Syarikat.
Majistret Muhammad Syafiq membuat keputusan berkenaan selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah
Peguam, Muhammad Saifullah Mohd Azmi yang mewakili tertuduh bagaimanapun membuat rayuan mengurangkan hukuman kerana K Kanapathi bekerja sebagai pemandu lori dan bertindak sedemikian kerana diprovok oleh pemandu warga Amerika Syarikat dengan menunjukkan jari tengah.
“Disebabkan perkara itu, dia hilang sabar dan bertindak membaling kon tetapi sekarang dia insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama, selain itu merupakan kesalahan pertamanya.
“Saya merayu dia dikenakan hukuman ringan kerana anak guam saya perlu menanggung isteri dan anak yang masih kecil,” jelasnya, lapor Sinar Harian.
Tertuduh direman selama dua hari
Satu lagi peguam tertuduh, M Partiben menjelaskan, disebabkan video yang tular itu tertuduh direman selama dua hari sekali gus sebagai pengajaran.
Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar bagaimanapun telah memohon mahkamah untuk menjatuhi hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Majistret Muhammad Syafiq kemudiannya telah menasihati K Kanapathi untuk mengawal emosi serta bertolak ansur semasa memandu selepas mendengar permohonan dari kedua-dua pihak.
Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan berkelakuan kurang sopan
Sebelum ini, K Kanapathi telah mengaku bersalah atas pertuduhan berkelakuan kurang sopan dengan cara mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang lelaki warga asing, Daniel Owen Flower, 54, untuk mengaibkan serta membangkitkan kemarahan, dengan mengganggu keamanan.
Perkara itu dilakukan oleh tertuduh jam 5.25 petang di Plaza Tol LDP dan pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum sebanyak RM100.



