fbpx
Now Reading
Lelaki Ditahan Selepas Mercun Tanpa Permit Disimpan Meletup Dalam Kondominium Di Bangi

Lelaki Ditahan Selepas Mercun Tanpa Permit Disimpan Meletup Dalam Kondominium Di Bangi

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof polis telah menahan lelaki yang juga penyewa unit (yang terbakar) sekitar jam 12.17 tengah hari di Bangi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini, tular video di media sosial memaparkan satu insiden letupan mercun sehingga menyebabkan berlakunya kebakaran di sebuah unit kondominium di Persiaran Bangi Avenue, Selangor.

Menerusi video yang dikongsikan, kelihatan mercun tersebut meletup sehingga percikan apinya terkeluar daripada balkoni unit kondominium Residensi Adelia berkenaan.

Susulan itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada jam 10.42 malam.

Jelasnya, kebakaran yang membabitkan unit kediaman di tingkat lapan dengan keluasan 1,200 kaki persegi dengan 80% terbakar di bahagin bilik yang mengandungi mercun. Walau bagaimanapun, api berjaya dikawal dari terus merebak sekitar jam 11.19 malam sebelum kerja memadam kebakaran dilakukan sepenuhnya.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Mercun Meletup Dalam Unit Apartmen Di Kajang, Disyaki Jadi Stor Penyimpanan [Video]

Polis tahan lelaki yang juga penyewa kondominium disyaki simpan mercun tanpa permit

Terbaharu, polis telah menahan seorang lelaki berhubung siasatan kebakaran kondominium itu pada malam 8 Februari yang disyaki berpunca daripada mercun.

Jelas Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof pihaknya menerima aduan mengenai insiden itu sekitar jam 10.50 malam.

Menurutnya pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dan anggota Balai Polis Bangi segera ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat dan kebakaran itu kemudiannya berjaya dikawal.

“Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada letupan beberapa kotak mercun yang dibeli dan disimpan bagi tujuan jualan tanpa lesen dan permit sehingga mengakibatkan keseluruhan unit terbakar.

“Sehubungan itu, polis menahan penyewa unit berkenaan iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun untuk siasatan,” ujarnya, lapor Berita Harian.

Suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman

Jelas Naazron lagi, lelaki yang juga peniaga itu ditahan sekitar jam 12.17 tengah hari di sebuah lokasi di Bangi.

“Suspek akan dibawa ke hadapan majistret bagi permohonan reman untuk membantu siasatan.

“Siasatan kebakaran turut dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.”

Tambah beliau, siasatan sedang dilakukan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun, denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, Naazron turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Ravin Ragayan di talian 012-6269250.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.