Rider Motosikal Patah Tangan Akibat Penumpang Tiba-Tiba Buka Pintu Kereta Di Tengah Jalan Raya [Video]
Jelas Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisione Mohd Zamzuri Mohd Isa ciri kunci keselamatan kanak-kanak (child lock) pada kereta dipercayai tidak diaktifkan menyebabkan pintu kenderaan dapat dibuka dari bahagian dalam.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan kemalangan melibatkan dua buah motosikal yang terjatuh disebabkan pintu kereta yang dibuka secara tiba-tiba sewaktu berada di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Menerusi video dashcam pemilik motosikal yang dikongsikan, awalnya kelihatan sebuah motosikal di hadapannya sedang berjalan di antara lorong tengah dan kanan.
Tidak lama kemudian secara tiba-tiba pintu belakang sebelah kiri sebuah kereta Honda City yang berada di lorong kanan secara tiba-tiba dibuka dan menyebabkan penunggang motosikal di hadapan tidak dapat mengelak dan melanggar pintu sebelum terjatuh di atas jalan.
Ekoran insiden itu, motosikal pemilik dashcam yang berada dibelakang juga gagal mengelak lalu terjatuh. Turut kelihatan penunggang motosikal terbaring di atas jalan sebelum penumpang dalam kereta Honda keluar dari kenderaan mereka.
View on Threads
Pintu kereta dibuka oleh kanak-kanak perempuan
Terbaharu Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa memaklumkan tindakan seorang kanak-kanak perempuan secara tak sengaja membuka pintu belakang sebuah kereta yang sedang bergerak menjadi punca kemalangan melibatkan enam kenderaan.
Menurut beliau, insiden itu berlaku pada 6.15 petang melibatkan empat kereta serta dua motosikal dari arah Bulatan Kampung Pandan menghala ke Menara Berkembar Petronas (KLCC).
“Siasatan awal mendapati kanak-kanak berusia dua tahun itu yang berada di tempat duduk penumpuang belakang dengan dipangku saudaranya, membuka pintu belakang sebelah kiri secara mengejut. Ciri kunci keselamatan kanak-kanak (child lock) juga dipercayai tidak diaktifkan menyebabkan pintu kenderaan dapat dibuka dari bahagian dalam.
“Tindakan itu mengakibatkan seorang penunggang motosikal jenis Suzuki V-Strom SX yang bergerak di antara lorong tidak sempat mengelak lalu melanggar pintu kenderaan berkenaan sebelum hilang kawalan dan merempuh beberapa kenderaan lain,” ujarnya, lapor Bernama.
Penunggang motosikal Suzuki alami patah tangan kiri
Tambah polis lagi, kemalangan berkenaan turut melibatkan seorang lagi penunggang motosikal jenis CFMOTO 675 NK (pemilik dashcam) yang gagal mengelak sewaktu berada di belakang motosikal Suzuki.
“Penunggang Suzuki V-Strom SX berusia 25 tahun mengalami patah tangan kiri dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur manakala penunggang CFMOTO berusia 30 tahun mengalami cedera ringan.
“Pemandu empat kenderaan lain iaitu Toyota Corolla Cross, Honda City, Volkswagen Polo dan Perodua Bezza dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa cermat dan tidak bertimbang rasa.”
Insiden berlaku sewaktu penunggang Suzuki dalam perjalanan pulang dari kerja
Memetik laporan Kosmo, insiden itu berlaku sewaktu penunggang motosikal Suzuki yang dikenali sebagai Izzat Aiman dalam perjalanan pulang dari tempat kerja pada 6 Februari lalu.
Kakak kepada penunggang berkenaan, Siti Nabilah memaklumkan adiknya sukar untuk bergerak kerana mengalami sakit pada bahagian kepala serta belakang badan.
“Adik saya kemudian ditimpa sebuah lagi motosikal yang (juga) tidak sempat mengelak. Sekarang dia sukar untuk bergerak disebabkan kepala dan belakang badannya sakit.
“Doktor bimbang kalau ada bahagian yang patah. Jadi buat masa sekarang dia masih lagi menunggu keputusan CT Scan (imbasan tomografi berkomputer),” jelasnya.
Pemilik kereta dah buat laporan namun belum tanya khabar
Ujar Siti Nabilah lagi, pemilik kereta yang membuka pintu secara tiba-tiba sudah membuat laporan namun sehingga kini belum bertanya khabar mengenai Izzat Aiman.
“Tuan (pemilik) kereta memang sudah buat laporan, begitu juga pemilik sebuah lagi kereta iaitu Perodua Bezza. Setakat ini, pemilik kereta belum melawat atau bertanya khabar.”

