Kerajaan Tak Izin Bina Rumah Ibadat Tidak Ikut Peraturan, PBT Diberi Kuasa Buat ‘Pembersihan’ – PM
Jelas Anwar lagi, perkara ini tidak tertumpu kepada mana-mana agama secara spesifik sebaliknya melibatkan semua rumah ibadat yang dibina tanpa mendapat kebenaran sah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini (9 Feb) menegaskan kerajaan tidak akan mengizinkan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang tidak mengikut peraturan.
Menurut Anwar, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diberi kebenaran untuk ‘membersihkan’ mana-mana rumah ibadat yang sengaja dibina tanpa mengikut peraturan dan jalur hukum yang sah.
“Saya dengan ini mahu mengumumkan ketetapan kita tidak lagi mengizinkan yang (pembinaan rumah ibadat) tidak mengikut peraturan, dan majlis bandar raya (PBT) diberi keizinan untuk bertindak supaya bersihkan (robohkan) kawasan yang bukan hak kuil supaya selesai masalah ini dengan baik.
“Saya tahu (ini akan) mengundang kontroversi. Sebab itu beritahu, kalau yang melampau sampai ada kempen nak merobohkan kuil, itu salah juga.
“Setiap tindakan nak dilakukan perlu ikut peraturan jalur hukum,” kata Anwar ketika memberi ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan di Putrajaya.
Tindakan hanya diambil jika ada pelanggaran, rumah ibadat sah akan sentiasa dapat sokongan termasuk naik taraf
Namun PM menjelaskan ketegasan itu perlu dilihat dalam kerangka perpaduan nasional serta penyelesaian berasaskan undang-undang dan bukan secara konfrontasi.
Sebarang tindakan juga hanya akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang manakala umah ibadat sah yang memerlukan proses naik taraf pula akan disokong untuk tujuan keselesaan.
“Bagaimana Batu Caves? Batu Caves itu sah, ada cadangan Batu Caves nak buat eskalator. Saya bincang dengan Menteri Besar Selangor semalam, kebetulan saya bersama dengan Sultan Selangor tanya pendapat baginda.
“Batu Caves itu mendapat kelulusan. Ada yang cadangkan nak bina eskalator. Jadi pendapat saya, tak apa. Dia tak ganggu tanah orang, dia tak paksa, dia tak rampas hak orang lain,” katanya.
Jelasnya lagi, perkara ini tidak tertumpu kepada mana-mana agama secara spesifik sebaliknya melibatkan kepada semua rumah ibadat yang dibina tanpa mendapat kebenaran sah, lapor Harian Metro.
“Walaupun istilah yang digunakan umum seperti kuil, perkara pokoknya ialah pembinaan di tempat atau tapak yang tidak sah. Di bawah peraturan, sama ada disenangi atau tidak, semua perlu ikut undang-undang.
“Masjid dibangunkan ikut peraturan, gereja dibangunkan ikut peraturan, begitu juga rumah ibadat lain. Yang penting, cari jalan penyelesaian, bukan pergaduhan,” kata Anwar.
Peraturan sama turut digunakan di China dan India
Malah beliau juga menjelaskan perkara sama turut dilakukan negara-negara lain termasuk di India dan China.
“Yang tidak boleh dibiarkan ialah percambahan, naik di mana-mana di bawah pohon, di mana-mana. Saya tanya di India ataupun di negara China, di negara China, dia tidak izinkan.
“Di India tidak diizinkan, melainkan di tempat yang sah. Jadi biar ini jadi dasar kita faham. Ada satu kes katanya betul tak ada kebenaran, tapi dah ada 200 tahun telah dibina.
“Dia nak minta pertimbangan. Itu kes lain, kita beri pertimbangan tetapi jangan guna alasan sudah ada di bawah pohon itu wajib diluluskan,” katanya dipetik FMT.
Bukan dasar baharu sudah lama digunakan sejak kerajaan terdahulu
Tegas PM lagi, dasar ini sebenarnya bukan perkara baharu, sebaliknya ia adalah kesinambungan pendirian kerajaan-kerajaan terdahulu.
“Isu ini bukan baru timbul semalam. Dasar kerajaan ini berterusan sejak zaman BN (Barisan Nasional), PN (Perikatan Nasional), PAS, PH sehingga sekarang,” katanya.
Agama lain tetap ada hal untuk diamalkan
Beliau dalam masa sama turut menjelaskan walaupun Islam adalah agama Persekutuan, namun agama lain tetap diberikan hak untuk diamalkan.
“Apakah wajar kita beri penghormatan kepada semua agama? Ya. Tetapi apakah kita boleh beri kebenaran kepada rumah ibadat yang tidak ikut peraturan? Tidak boleh.
“Kalau di atas tanah orang lain, tanah yang dirampas atau diambil tanpa kebenaran, tak boleh dijadikan sah.
“Tapi takkanlah kalau ada 1,000 kuil yang tidak mengikut kebenaran dan kelulusan tanah di wilayah persekutuan, semua nak dipertahankan?” kata PM lagi.
I steer BuzzKini's editorial voice and online presence, consulting senior leadership when it matters while enjoying music, books, and the outdoors.



