Restoran Didakwa Cuci Saki Baki Makanan, JKNNS Kompaun & Arah Premis Ditutup
Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) telah mengarahkan restoran di Seremban itu ditutup, selain turut mengeluarkan notis kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini tular video di media sosial memaparkan tindakan pekerja di sebuah restoran di Seremban, Negeri Sembilan yang didakwa membasuh semula saki baki makanan seperti ayam, daging kambing dan tauhu dari lebihan masakan yang tidak habis untuk dijual dan dimasak semula pada hari keesokan harinya.
Menerusi video yang dikongsikan kelihatan pekerja restoran itu sedang berada di sebuah singki dipercayai membasuh saki baki makanan terbabit.
Dalam video sama, turut kelihatan perakam menunjukkan sisa makanan yang telah dibasuh di letakkan dalam satu bekas besi.
View on Threads
JKNNS jalankan siasatan terhadap restoran tular & diarahkan tutup premis
Susulan daripada video tular itu, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) mengambil maklum aduan terbabit dan menjalankan siasatan ke atas restoran terbabit.
“Pemilik restoran telah dikenakan tindakan penguatkuasaan dan diarahkan penutupan premis di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan pengeluaran notis kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“JKNNS memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan. Justeru itu, orang ramai terutama pemilik, pengusaha dan pengendali makanan diwajibkan untuk memastikan aspek keselamatan makanan terjaga. Pengabaian ke atas aspek kebersihan dan keselamatan makanan boleh menyebabkan kejadian keracunan makanan,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook.
Orang ramai dinasihatkan utama keselamatan makanan
JKNNS dalam masa sama, turut menasihati orang ramai untuk mengutamakan keselamatan makanan dengan mengamalkan ‘Perhati dan Pilih’ semasa memilih premis makanan serta amalkan ‘Lihat Hidu Rasa’ kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan daripada keracunan makanan.
Pihaknya juga sentiasa peka serta prihatin terhadapn perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.



