Penyokong Selangor FC Ditahan Kerana Bakar Suar & Ganggu Ketenteraman
Penyokong Selangor FC yang ditahan dipercayai bertindak melakukan perkara itu bermula daripada Mayang Mall melintas ke Jambatan Angkat (Drawbridge) sebelum menghala ke pantai Seberang Takir Kuala Terengganu pada 1 Februari lalu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini tular satu video di media sosial memaparkan sekumpulan individu dipercayai penyokong Selangor FC yang sedang berjalan di Jambatan angkat Kuala Terengganu (Drawbridge), Terengganu.
Tindakan itu telah menyebabkan keadaan jalan raya menjadi sesak kerana dipenuhi oleh penyokong pasukan bola terbabit.
Malah mereka turut berjalan sambil bernyanyi selain membakar suar dan kedengaran hon turut dibunyikan dari kenderaan lain.
View on Threads
View on Threads
Penyokong Selangor FC ditahan ganggu ketenteraman
Susulan daripada perkara itu, penyokong kelab bola berkenaan telah ditahan kerana mengganggu ketenteraman awam serta menimbulkan kegusaran orang ramai apabila bertindak membakar suar pada 1 Februari lalu.
Pihak polis mengambil tindakan selepas penyokong terbabit berkata “Tak kan nak bakar suar dalam hutan, nak bagi beruk tengok ke” sewaktu ditanya oleh polis mengapakah mereka melakukan hal tersebut.
Jelas Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, polis juga melakukan siasatan mengikut kesalahan berkaitan penyalahgunaan serta memiliki dadah.
3 daripada yang ditahan miliki ganja dan erimin 5
Menurut beliau, seramai 24 dari 33 penyokong Selangor FC yang telah ditahan akibat mengganggu ketenteraman awam di Drawbridge berkenaan pada petang 1 Februari turut didapati positif dadah.
Malah tiga daripada individu yang ditahan memilik ganja dan juga erimin 5.
Mereka ditahan pada jam 8 malam dan dibawa ke Mahkamah Majistret pada 2 Februari untuk mendapatkan perintah reman.
Kata Mohd Khairi lagi, suspek dipercayai bertindak melakukan perkara tersebut bermula di hadapan pusat membeli-belah Mayang Mall melintas ke Jambatan Angkat kemudian menghala ke pantai Seberang Takir Kuala Terengganu sekitar jam 6.30 petang, 1 Februari lalu.
“Mereka antara 412 penyokong yang ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk menjalani pemeriksaan saringan air kencing.
“Pemeriksaan mendapati tiga individu memiliki ganja seberat 19.1 gram dan erimin 5 seberat 0.37 gram. Sembilan lagi ditahan kerana memiliki suar dan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala semua suspek disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 dan diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut,” ujarnya, lapor Berita Harian.
Pelajar universiti dan sekolah antara yang ditahan, 70 batang suar dirampas
Tambahnya, tujuh daripada individu yang ditahan merupakan pelajar universiti awam, dua pelajar dari swasta manakala terdapat seorang pelajar sekolah menengah.
Menurut Mohd Khairi, polis juga merampas sebanyak 70 batang suar daripada pelbagai saiz dengan 54 batang lagi yang telah dinyalakan manakala 16 belum digunakan. Jumlah keseluruhan RM7,500.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 & Seksyen 186 Kanun Keseksaan
Perkara itu disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Jelasnya lagi, siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Seksyen 186 dibuka kerana mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya kepada penjawat awam apabila ditanya kenapa bakar suar dengan kata-kata “tak kan nak bakar suar kat dalam hutan, nak bagi beruk tengok ke.”
“PDRM tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas terhadap sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan kekacauan atau membahayakan nyawa orang awam.”
Tiga suspek yang memiliki dadah dibenarkan direman selama empat hari oleh Majistret Iffah Nabihah Ishak manakala selebihnya yang ditahan direman tiga hingga empat hari bermula 2 Februari.