Selangor Batal Sementara Projek Ladang Babi Selepas Terima Bantahan Penduduk Setempat
Menurut Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari alternatif kawasan ladang babi yang lebih sesuai tanpa menjejaskan penduduk kini sedang dikenal pasti.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Hari ini (26 Januari), kerajaan Selangor memutuskan untuk menangguhkan dan membatalkan sementara sebarang cadangan melibatkan projek ladang penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor berikutan bantahan keras penduduk serta keperluan penelitian lebih menyeluruh.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, isu telah dibincangkan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini termasuk arahan kepada Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim untuk mencari kawasan alternatif lain yang lebih sesuai ekoran bantahan orang ramai yang tinggal di sekitar kawasan tersebut.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah dimaklumkan mengenai perkara ini pada Rabu lalu (21 Januari).
“Kita sedar terdapat bantahan keras, maka saya arahkan supaya alternatif kawasan lain dikenal pasti,” katanya.
Tiada Lokasi Muktamad Buat Masa Ini
Bagaimanapun buat masa ini, kerajaan negeri tidak akan mendedahkan sebarang lokasi atau cadangan alternatif kerana masih belum ada keputusan muktamad mengenainya.
“Isu ini perlu ditangani dengan lebih berhemah termasuk libat urus bersama pihak berkepentingan, penilaian impak sosial (SIA) serta proses yang lebih teratur,” jelas Amirudin.
Tambah Amirudin, beliau mengakui bahawa terdapat kekeliruan dan salah faham pada peringkat awal berhubung projek ladang babi ini sehinggakan pengumuman itu dilihat seolah-olah diputuskan secara tergesa-gesa oleh pihak kerajaan.
“Isu ini sudah melampaui daripada realiti sebenar dan sebab itu kita ambil keputusan untuk tangguh serta batalkan dahulu sementara kita beri penjelasan yang jelas kepada semua pihak,” ujar MB Selangor itu, lapor Sinar Harian.

Selangor Akan Buat Keputusan Adil Untuk Elak Ganggu Keharmonian Masyarakat
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kepentingan semua pihak termasuklah pengusaha terlibat akan terus dilindungi, selain memastikan segala keputusan diambil adalah adil dan saksama tanpa menggugat keharmonian rakyat.
“Perbincangan dengan pengusaha akan tetap diteruskan. Kita mahu penyelesaian yang adil, munasabah dan tidak menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.
Terdahulu, perancangan untuk memindahkan ladang penternakan babi dari Kuala Langat dan Sepang ke kawasan berpusat moden di Bukit Tagar menerima banyak reaksi negatif netizen.
Manakala rata-rata penduduk di kawasan berhampiran pula membantah projek itu. Ada yang mengatakan ia tidak bersih dan mampu meningkatkan risiko kepada sebarang penyakit.
Pada awalnya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan terbabit. Namun pada 12 Januari lalu, baginda menitahkan penternakan babi sedia ada di Tanjong Sepat dihentikan secara beransur-ansur dan dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar mengikut perancangan tersusun.
Baca Artikel Berkaitan: Sultan Selangor Titah Tiada Lagi Ladang Babi Di Tanjong Sepat
Pada 16 Januari pula, Kerajaan Persekutuan membenarkan Kerajaan Negeri Selangor untuk melaksanakan penternakan babi secara berpusat dan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor jika kawasan itu sesuai dalam aspek persekitaran serta pengurusan.
Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Tak Halang Selangor Laksana Ladang Ternakan Babi Berpusat & Moden – Mat Sabu


