fbpx
Now Reading
Bekas PTD Dihadapkan Ke Mahkamah, Didakwa Terima Wang Haram Lebih RM2.1 Juta

Bekas PTD Dihadapkan Ke Mahkamah, Didakwa Terima Wang Haram Lebih RM2.1 Juta

Mengikut pertuduhan, bekas PTD terbabit didakwa menerima hasil haram iaitu wang masing-masing RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Hari ini (22 Januari), bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima hasil aktiviti haram mencecah RM2,122,400 pada 2024 sehingga 2025.

Bagaimanapun, Muhammad Hafizuddeain yang berusia 58 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah atas empat kes berkenaan.

Memetik Sinar Harian, bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Darat itu membuat pengakuan terbabit selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Bekas PTD didakwa terima hasil haram masuk ke 3 akaun bank miliknya

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menerima hasil haram iaitu wang masing-masing RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua bank berbeza di Jalan Melaka dan Bukit Damansara antara 2 Februari 2024 dan 7 November 2025.

Setiap pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Bekas PTD boleh dijatuhi hukumam penjara dan denda jutaan ringgit jika bersalah

Jika disabit kesalahan, beliau boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai kesalahan itu atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Isteri ketiga bekas PTD turut mengaku tidak bersalah & mohon dibicarakan.

Dalam pada itu, isteri ketiga Muhammad Hafizuddeain, Salwani Anuar @ Kamaruddin didakwa atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000.

Salwani bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Sebelum ini, pada 7 Januari lalu, SPRM telah menahan seorang bekas pegawai tertinggi tentera darat dan dua isterinya berhubung projek perolehan tender tentera darat.

Ketiga-tiga mereka kemudiannya ditahan direman bagi membantu siasatan membabitkan kes rasuah tender tersebut.

Selain mereka, terdapat empat lagi pegawai kanan ATM yang direman dan didakwa di mahkamah berhubung kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Agong zahir rasa kecewa, kes rasuah dalam ATM hingga peringkat tertinggi

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 19 Januari lalu turut menzahirkan rasa kekecewaannya terhadap kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hingga ke peringkat tertinggi.

Perasaan itu dizahirkan baginda semasa bertitah dalam Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Parlimen.

“Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia sampai peringkat tertinggi.

“Agaknya selepas ini saya terpaksa lantik Sarjan saja jadi PAT (Panglima Angkatan Tentera). Ini hanyalah sekelumit daripada segunung atau tip of the iceberg,” titah baginda.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Rasuah Dalam ATM: “Agaknya Lepas Ini Saya Terpaksa Lantik Sarjan Saja Jadi PAT” – Agong

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.