3 Cawangan AKE Dikaitkan Dengan Dakwaan Kanak-Kanak Didera Bukan Taska Berdaftar – JKM
Dalam satu kenyataan, Jabatan Kerajaan Masyarakat (JKM) menjelaskan bahawa siasatan dan pemeriksaan telah dilakukan di cawangan AKE yang terletak di Seksyen 3 dan Kota Kemuning, Shah Alam serta Prima Puchong.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak beberapa hari lalu, kecoh apabila pempengaruh dan aktivis, Caprice, mendedahkan tentang isu dakwaan penderaan yang berlaku di beberapa cawangan taska Al Kauthar Eduqids (AKE).
Perkara itu telah mendapat perhatian banyak pihak termasuk Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Dakwaan Kanak-Kanak Didera Pengasuh, Ini Respon Taska [Video]
Terbaharu, Dr Asyraf memaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengambil tindakan dengan menyita tiga cawangan AKE yang didakwa berlakunya pengabaian dan penderaan kanak-kanak.
“Saya amat berharap tindakan penguatkuasaan mesti dilakukan secara tegas terhadap
Pusat-Pusat Jagaan Kanak-Kanak yang tidak berdaftar dan terdedah kepada pelbagai risiko keselamatan dan kesejahteraan anak-anak,” katanya.
Tiga Cawangan Taska AKE Tidak Berdaftar – JKM
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram, JKM telah menerima aduan awam berhubung dakwaan pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang membabitkan tiga cawangan AKE iaitu:
- AKE di Seksyen 3, Shah Alam
- AKE di Kota Kemuning, Shah Alam
- AKE di Prima Puchong
Sekitar jam 10 pagi semalam (21 Januari), JKM Negeri Selangor telah menjalankan siasatan dan pemeriksaan di ketiga-tiga premis berkenaan dan mendapati kesemuanya tidak berdaftar sebagai operator taska di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.
“Premis pusat-pusat tersebut juga berada dalam keadaan yang tidak memuaskan, tidak kondusif dan tidak memenuhi ciri keselamatan yang sewajarnya,” katanya.
Siasatan Di AKE Libatkan JPNS & PDRM
Tambahnya lagi, memandangkan tiga premis berkenaan menjalankan operasi yang merangkumi pelbagai kategori penjagaan kanak-kanak termasuk TASKA, TADIKA dan terapi untuk kanak-kanak kurang upaya, siasatan turut melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagi tujuan semakan dan tindakan selanjutnya.
Manakala isu melibatkan dakwaan penderaan kanak-kanak kini sedang di bawah siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sehubungan itu, JKM Selangor juga akan mengadakan pertemuan dengan pihak AKE bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
“JKM ingin menegaskan bahawa aspek keselamatan, perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak merupakan keutamaan tertinggi dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di negara ini,” katanya.
JKM turut berterima kasih kepada orang ramai yang prihatin dan cakna dengan isu tersebut, khususnya ibu bapa yang tampil memberi maklumat.
Semak Status Pendaftaran Taska Terlebih Dahulu
Dalam pada itu, JKM mengingatkan orang ramai agar menghantar anak-anak ke pusat jagaan yang berdaftar dan tertakluk kepada undang-undang yang ditetapkan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 termasuk standard minimum keselamatan, kebersihan, kemudahan fizikal dan nisbah pengasuh.
Semak status pendaftaran Taska menerusi:
- Portal Rasmi JKM [DI SINI]
- Menerusi plak pendaftaran TASKA yang wajib dipamerkan di hadapan setiap premis berdaftar

“JKM akan terus komited melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang.
“Kerjasama erat antara ibu bapa, komuniti dan agensi kerajaan amat penting bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara dan tidak dikompromi,” ujarnya.



