Bekas Wartawan FMT, Rex Tan Ditahan Di Bawah Akta Hasutan
Peguam Rex Tan ,Rajsurian Pillai mengesahkan perkara itu dan berkata wartawan itu ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bekas wartawan FMT, Rex Tan yang tular berhubung soalan kontroversi yang didakwa berunsur perkauman pada satu program wacana Isnin lalu, 12 Januari, telah ditahan polis pada awal pagi ini (17 Januari).
Tan, 31, yang meletak jawatannya pagi semalam (16 Januari) ditahan selepas hadir ke IPD Dang Wangi.
Peguam sahkan Rex Tan ditahan
Peguamnya, Rajsurian Pillai mengesahkan perkara itu dan berkata Tan ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan. Difahamkan, siasatan dijalankan di Bukit Aman, lapor Berita Harian.
Untuk info, wacana terbuka bertajuk ‘Gaza Exposed The Complicity of International Actors’ itu menampilkan ahli politik Britain yang terkenal dengan pendirian pro-Palestin, George Galloway.
Susulan kritikan dan kecaman hebat orang ramai, Tan telah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung perkara terbabit.
Menerusi kenyataan dikeluarkan di FMT sebelum ini, Rex Tan menyesali soalan yang diajukan kerana tidak mengambil kira kesesuaiannya dengan konteks majlis selain mengemukakannya tanpa pertimbangan yang wajar terhadap sensitiviti isu tersebut.
“Yang paling saya kesali ialah tindakan saya menyentuh soal hubungan kaum Cina dan Melayu, sesuatu yang sama sekali tidak perlu dan tidak sepatutnya berlaku.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak berniat untuk menghasut, apatah lagi mengemukakan soalan yang bersifat perkauman.”
Rex Tan turut menekankan kelemahan serta kekhilafan itu datang dari dirinya sendiri dan berharap orang ramai tidak melibatkan FMT, keluarga dan kenalannya sebagai sasaran.
“Saya juga berharap tuan-tuan dan puan-puan, mengambil kira bahawa persoalan saya tidak menggunakan istilah ‘apartheid’ dan tidak pernah bertujuan untuk menyamakan keadaan masyarakat cina di Malaysia dengan nasib rakyat Palestin.
“Perkara ini telah saya jelaskan apabila diberi peluang kedua untuk bercakap, di mana saya menyatakan: ‘Saya sama sekali tidak berniat membandingkan keadaan semasa masyarakat Cina di Malaysia dengan nasib rakyat Palestin. Saya akui perbandingan sedemikian tidak masuk akal’.”
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Aju Soalan Kontroversi, Wartawan FMT Rex Tan Tampil Mohon Maaf
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Wartawan Dikatakan Aju Soalan Unsur Perkauman, FMT Tampil Mohon Maaf
Penahanannya adalah keterlaluan – Premesh Chandran
Mengulas tentang penahanannya, Timbalan Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM), Premesh Chandran berkata meskipun Tan melakukan kesilapan, namun tindakan menahannya itu adalah keterlaluan.
“Beliau sudah bersedia untuk bekerjasama dengan siasatan. Penahanan tidak perlu,” kata Premesh sambil menyifatkan tindakan itu sebagai ‘melampau dan bersifat menghukum’.
MMM sebelum ini mengecam sekeras-kerasnya segala bentuk pendedahan maklumat peribadi (doxxing), gangguan, ugutan dan ancaman terhadap wartawan.
Menurut MMM, tindakan sedemikian meletakkan pengamal media dalam keadaan berisiko, mencabul privasi, keselamatan serta hak asasi mereka, dan menjejaskan peranan asas kewartawanan dalam sesebuah masyarakat demokratik.
MMM bagaimanapun menegaskan kepentingan wartawan mengekalkan pemikiran kritikal dalam pelaporan mereka, termasuk dalam pembentukan soalan dan naratif. Pendekatan kritikal ini mestilah berasaskan persediaan rapi, penyelidikan mendalam dan analisis yang teliti terhadap isu-isu yang dilaporkan.
Geramm rakam kebimbangan berhubung penahanan Rex Tan
Gerakan Media Merdeka (Geramm) turut merakamkan kebimbangan berhubung penahanan Tan itu.
Geramm dalam satu kenyataan berkata pihaknya percaya tiada keperluan mendesak untuk pihak berkuasa menahannya pada waktu tengah malam.
“Geramm juga berpendirian bahawa penahanan Tan berisiko membuka ruang kepada penjenayahan (criminalisation) terhadap wartawan pada masa hadapan, khususnya mereka yang didakwa mengemukakan soalan dianggap ‘sensitif’, ‘kontroversi’ atau ‘jahil’.
“Kami mengambil maklum bahawa Tan telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka melalui FMT sebelum ini dan seterusnya mengemukakan peletakan jawatan. Syarikat portal berita itu juga telah mengambil tindakan pantas terhadap Tan susulan insiden tersebut.
“Geramm menegaskan semula pendirian kami bahawa tanpa mengira perbezaan pandangan terhadap pelaporan atau cara soal jawab, pekerja media tidak wajar dikenakan tindakan yang menjejaskan keselamatan, maruah, atau kebebasan mereka untuk bekerja.”



