“DAP Dah ‘Berkorban’ Untuk UMNO” – Shakir Ameer Persoal Tindakan Akmal Saleh Serang Partinya
Dakwa Pengerusi DAP Cawangan Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer Mohideen lagi, partinya turut membantu UMNO dalam kempen di DUN Nenggiri, Kelantan pada Ogos 2024 sehingga berjaya merampas kerusi daripada PN buat pertama kali sejak PRN 2023.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Situasi politik di Malaysia boleh dikatakan dalam keadaan yang tidak begitu stabil sejak kebelakangan ini apabila beberapa pemimpin utama parti politik baik dari blok pembangkang mahupun kerajaan mengumumkan peletakan jawatan mereka.
Semalam (15 Januari), Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh, meletak jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka (Exco) ketika Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025.
Beliau bagaimanapun mengekalkan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO, meskipun sebelum ini timbul desas-desus mengenai perkara itu, selepas Akmal sebelum ini memberi bayangan ingin ‘mengundur diri’.
Akmal ketika mengumumkan peletakan jawatan, menjelaskan keputusan itu diambil (kekal sebagai Ketua Pemuda UMNO) bagi memberi fokus kepada perjuangan menentang DAP yang dikatakan sebagai musuh nyata.
“Sebab itu hari ini, dengan bangga, disebabkan saya sudah bawa kerisauan rakyat di bawah yang tak boleh duduk dengan DAP ini, orang kita marah dengan DAP, betul saya akur (dengan keputusan parti),” katanya dipetik Berita Harian.
Shakir Ameer Tegaskan Pengorbanan Dilakukan Oleh DAP Untuk UMNO
Terbaharu, DAP mempersoalkan tindakan ADUN Merlimau itu yang terus-menerus menyerang partinya, dengan menyatakan bahawa ia telah melakukan pengorbanan politik buat UMNO ketika Pilihan Raya Negeri Selangor 2023.
Pengerusi DAP Cawangan Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer Mohideen berkata, DAP ketika itu telah melepaskan kerusi DUN Dusun Tua (Selangor) yang dimenangi dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum 2018 demi memberi laluan kepada UMNO-Barisan Nasional (BN) dan kelangsungan Kerajaan Perpaduan.
“UMNO akhirnya menang kerusi itu dengan majoriti tipis sekitar 3,000 undi. Ini bukan keputusan kecil, tetapi pengorbanan jelas demi kestabilan kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan,” katanya dipetik Malaysia Gazette.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Akmal Saleh telah menyelar DAP dan mendakwa parti itu tidak pernah membela UMNO, sebaliknya mengutuk dan mencaci pemimpinnya, walaupun ia merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
DAP Bantu Kempen UMNO Dalam 4 Pilihan Raya DUN
Dakwa Shakir, bukan setakat itu sahaja, tetapi pengorbanan DAP turut ditunjukkan menerusi sokongan terbuka dan kempen lapangan yang dijalankan agar calon UMNO dapat memenangi beberapa pilihan raya kecil di kawasan yang dikuasai atau dicabar Perikatan Nasional (PN).
Menerusi hantaran di Facebook, dia turut menyenaraikan beberapa kempen PRN yang telah dibantu DAP yang dimenangi UMNO, iaitu:
- DUN Pelangai, Pahang pada Oktober 2023
- DUN Nenggiri, Kelantan pada Ogos 2024 (UMNO rampas kerusi daripada PN buat pertama kali sejak PRN 2023)
- DUN Mahkota, Johor pada September 2024
- DUN Ayer Kuning, Perak pada April 2025
Shakir turut mendedahkan bahawa dalam setiap kempen, jentera DAP telah merayu kepada pengundi agar memberikan sokongan kepada UMNO, termasuklah dalam kalangan penyokong tegar Pakatan Harapan.
“Walaupun ada yang meragui kebolehpindahan undi, anggaran kami menunjukkan lebih 80% pengundi PH mengalihkan sokongan kepada calon UMNO,” ujarnya.
“Apa Yang Mahu Dilawan?” – Shakir Ameer
Dalam pada itu, Shakir mempersoalkan sejauh manakah Akmal selaku wakil Ketua Pemuda UMNO mahu menyerang DAP walaupun dengan sokongan yang jelas dan konsisten terhadap UMNO demi kelangsungan Kerajaan Perpaduan.
“Persoalannya sekarang, apa lagi yang mahu dilawan? DAP telah berkorban kerusi, turun berkempen dan membantu menewaskan PN demi memastikan kerajaan perpaduan terus bertahan,” katanya.
Dia juga menyifatkan serangan terhadap DAP itu akan menyebabkan sesetengah pihak dipersoalkan mengenai keikhlasan mereka dalam mempertahankan kerjasama politik yang telah dibangunkan.
“Jika masih mahu menyerang DAP dalam keadaan ini, maka rakyat boleh menilai sendiri siapa sebenarnya yang tidak menghormati semangat kerajaan perpaduan,” ujar beliau lagi.



