fbpx
Now Reading
Aju Soalan Kontroversi, Wartawan FMT Rex Tan Tampil Mohon Maaf

Aju Soalan Kontroversi, Wartawan FMT Rex Tan Tampil Mohon Maaf

Kata wartawan FMT itu, dia mengakui rujukan terhadap Malaya dalam soalan berkenaan adalah keterlaluan, tidak relevan dan juga mengelirukan selain tidak perlu sama sekali.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini tular mengenai tindakan seorang wartawan dari portal berita Free Malaysia Today (FMT) yang mengajukan soalan kontroversi dikatakan mempunyai unsur perkauan dalam satu wacana terbuka bertajuk ‘Gaza Exposed The Complicity of International Actors’ pada 12 Januari yang lalu.

Susulan daripada tindakan wartawan itu, portal berita berkenaan telah tampil membuat permohonan maaf.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan FMT, pihaknya menegaskan tidak mengetahui niat soalan terbabit diajukan serta tidak bersetuju dengan komen-komen wartawan berkenaan.

FMT turut mengambil tindakan segera dengan melakukan siasatan dalaman yang membawa kepada tindakan tatatertib ke atas wartawan berkenaan.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Wartawan Dikatakan Aju Soalan Unsur Perkauman, FMT Tampil Mohon Maaf

Wartawan aju soalan kontroversi mohon maaf, akui kesal

Terbaharu wartawan FMT terlibat, Rex Tan telah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung perkara tersebut.

Menerusi kenyataan dikeluarkan di FMT, Rex Tan menyesali soalan yang diajukan kerana tidak mengambil kira kesesuaiannya dengan konteks majlis selain mengemukakannya tanpa pertimbangan yang wajar terhadap sensitiviti isu tersebut.

“Yang paling saya kesali ialah tindakan saya menyentuh soal hubungan kaum Cina dan Melayu, sesuatu yang sama sekali tidak perlu dan tidak sepatutnya berlaku.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak berniat untuk menghasut, apatah lagi mengemukakan soalan yang bersifat perkauman.

“Saya juga tidak berniat menimbulkan kegelisahan atau menyinggung perasaan mana-mana komuniti, sama ada masyarakat Melayu, Cina mahupun rakyat Palestin. Saya benar-benar kesal kerana kekurangan sensitiviti saya telah menyebabkan ketegangan dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya, memetik FMT.

Akui soalan adalah tak relevan, mengelirukan dan tak perlu

Kata Rex Tan lagi, dia telah meneliti serta mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan Majlis Media Malaysia dan pelbagai pihak mengenai kesalahannya dalam isu tersebut.

Selain itu, Rex Tan juga mengakui rujukannya terhadap Malaya dalam soalan terbabit adalah keterlaluan, tidak relevan selain mengelirukan dan tidak perlu sama sekali.

Oleh itu, Rex Tan memohon maaf atas kegagalannya untuk bersikap profesional sebagai seorang wartawan.

Berharap orang ramai tidak membabitkan FMT, keluarga dan kenalan sebagai sasaran

Rex Tan turut menekankan kelemahan serta kekhilafan itu datang dari dirinya sendiri dan berharap orang ramai tidak melibatkan FMT, keluarga dan kenalannya sebagai sasaran.

“Saya juga berharap tuan-tuan dan puan-puan, mengambil kira bahawa persoalan saya tidak menggunakan istilah ‘apartheid’ dan tidak pernah bertujuan untuk menyamakan keadaan masyarakat cina di Malaysia dengan nasib rakyat Palestin.

“Perkara ini telah saya jelaskan apabila diberi peluang kedua untuk bercakap, di mana saya menyatakan: ‘Saya sama sekali tidak berniat membandingkan keadaan semasa masyarakat Cina di Malaysia dengan nasib rakyat Palestin. Saya akui perbandingan sedemikian tidak masuk akal’.”

Turut jelaskan mengenai dakwaan dalam hantaran Zaid Ibrahim

Wartawan itu turut menyatakan sokongan penuhnya terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk merdeka serta hidup bebas daripada pencerobohon Israel di wilayah mereka.

Namun Rex Tan menafikan dia ada mengutarakan soalan “Adakah dasar apartheid yang bersifat diskriminasi oleh pihak Israel menyerupai cara orang Melayu melayan masyarakat Cina di sini,” seperti yang dipetik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim di Facebook.

Dia percaya Zaid Ibrahim tersalah tafsir soalannya.

“Dalam konteks ini juga, saya ingin menjelaskan bahawa hantaran oleh Zaid Ibrahim telah menyalah tafsir soalan saya apabila beliau mendakwa bahawa saya telah bertanya, ‘Adakah dasar apartheid yang bersifat diskriminasi oleh pihak Israel menyerupai cara orang Melayu melayan masyarakat Cina di sini,’ sedangkan istilah ‘apartheid’ tidak disebut dalam soalan saya.

“Saya sangat berharap agar isu ini dapat diredakan segera. Ingin saya nyatakan sekali lagi bahawa saya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kontroversi yang tercetus ini.

“Akhir kata, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas kesilapan saya dan berharap perkara ini tidak menjejaskan FMT atau mereka yang saya sayangi,” katanya lagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.