Konstabel Tampar Penunggang Motosikal Dalam Tugas Ops Banteras Mat Rempit – Ketua Polis Johor
Menurut Ketua Polis Johor, punca kejadian masih dalam siasatan, namun tindakan tampar itu dipercayai tindakan spontan selepas mangsa dikatakan cuba melarikan diri.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Seorang anggota polis berpangkat konstabel yang tular menampar seorang penunggang motosikal di sebuah stesen minyak di Taman Perling, Johor Bahru kelmarin (11 Januari) dilaporkan sedang bertugas ketika kejadian berlaku.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, berdasarkan rekod, anggota itu dipanggil bertugas pada hari kejadian untuk membantu operasi membanteras aktiviti mat rempit meskipun dia pada ketika itu sedang bercuti.
Tindakan tampar dipercayai tindakan spontan – Ketua Polis Johor
Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan, namun tindakan tampar itu dipercayai tindakan spontan selepas mangsa dikatakan cuba melarikan diri.
“Sebenarnya, satu operasi trafik sedang dijalankan iaitu Ops Motosikal oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.
“Ketika kejadian, anggota itu mahu menahan motosikal mangsa, tetapi mangsa cuba melarikan diri, mungkin ia tindakan sehingga berlaku kejadian itu,” katanya dipetik Berita Harian.
Laporan polis pertama dibuat oleh polis selepas video tular, mangsa turut buat laporan
Menurutnya lagi, laporan polis pertama dibuat pihak polis selepas tular video kejadian itu di media sosial sebelum laporan polis diterima daripada mangsa sendiri pada malam hari kejadian.
“Kita akan melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kemudian akan merujuk kepada Bahagian Perundangan Bukit Aman sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.
Berkongsi lanjut, Ab Rahaman berkata, empat individu sudah dipanggil memberi keterangan termasuk saksi dan anggota polis yang terbabit dengan insiden itu.
Jelasnya, beberapa saksi lagi akan dipanggil untuk merakam percakapan dan pada masa sama sedang mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Anggota tampar rider terbabit tidak digantung tugas, masih bekerja
Kata Ab Rahaman lagi, anggota berkenaan pada ketika ini masih lagi bekerja, namun tidak dibenarkan melakukan tugas operasi.
“Dia tidak digantung tugas dan tidak ditahan reman. Setakat ini, anggota terbabit menjalankan tugas seperti biasa, kita tidak boleh menahan tugasnya kerana kita belum dapat arahan untuk mendakwanya di mahkamah.
“Kita ada proses dan peraturan untuk menahan tugas seseorang polis, biasanya apabila ada keterangan terbukti untuk pendakwaan di mahkamah.
“Bagaimanapun, anggota polis berusia 20-an yang mula bertugas dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2022 itu tidak menjalankan tugas operasi sehingga siasatan ini selesai,” katanya.
Tular rakaman dashcam lelaki tampar penunggang motosikal
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman dashcam yang memaparkan seorang lelaki dipercayai anggota polis secara tiba-tiba menerpa ke arah seorang penunggang motosikal sebelum bertindak menamparnya.
Rata-rata pengguna media sosial yang melihat video terbabit kemudiannya memberikan kecaman terhadap tindakan yang dilakukan oleh lelaki berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Supt Azrol Anuar Nor kemudiannya dalam satu kenyataan mengesahkan lelaki yang tular menampar seorang penunggang motosikal itu adalah anggota polis yang sedang bercuti.
Baca Artikel Berkaitan: PDRM Sahkan Lelaki Tampar Penunggang Motosikal Anggota Polis Sedang Bercuti



