Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang individu yang terbabit dalam insiden seorang lelaki ditampar di sebuah stesen minyak di Taman Perling, Johor Bahru semalam (11 Jan) adalah anggota polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Supt Azrol Anuar Nor dalam satu kenyataan berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 6.50 petang.
“Individu terbabit dikenal pasti sebagai anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara dan sedang bercuti ketika kejadian.”
Polis belum terima laporan tapi mangsa sudah dikenal pasti
Tambah Azrol Anuar, setakat ini pihak polis masih belum menerima laporan berhubung insiden itu, namun mangsa terbabit sudah dikenal pasti dan usaha sedang dijalankan untuk mengesannya bagi membantu siasatan.
“Polis memandang serius dakwaan kesalahan atau salah laku yang membabitkan pegawai dan anggota polis. Sehubungan itu satu siasatan dalaman telah dibuka dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, peraturan atau tatakelakuan yang ditetapkan.”
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Supt Azrol Anuar Nor
Beliau dalam masa sama turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung insiden berkenaan, dan mengalu-alukan kerjasama mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan untuk membantu siasatan.
Insiden polis tampar penunggang motosikal tular hingga tuai kecaman
Terdahulu tular rakaman dashcam seorang lelaki yang dipercayai anggota polis menampar seorang penunggang motosikal di stesen minyak Petronas di Taman Perling.
Penularan rakaman tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai kerana lelaki itu dilihat mengasari penunggang motosikal tersebut sedangkan dia sudah pun berhenti selepas dihalang.
Ahmed Faez
I steer BuzzKini's editorial voice and online presence, consulting senior leadership when it matters while enjoying music, books, and the outdoors.