“Lambang Keakraban 2 Negara” – Anwar Terima Darjah Kebesaran Tertinggi Turkiye ‘Order of the Republic’
Dalam masa sama, tujuh dokumen turut dimeterai antara Malaysia dan Turkiye bagi mengukuhkan kerjasama strategik kedua-dua negara merentasi pelbagai bidang keutamaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima darjah kebesaran tertinggi Turkiye, Order of the Republic, yang disampaikan oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan ketika lawatan rasmi Anwar ke republik itu bermula 6 Januari.
Darjah itu dianugerahkan sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap peranan pemimpin Malaysia itu dalam memperkukuh hubungan dua hala dengan republik tersebut.
“Anugerah Melambangkan Keakraban Antara Dua Negara” – PMX
Anwar dalam satu kenyataan menyatakan penuh rasa syukur dan rendah diri di atas penganugerahan itu.
Beliau turut meluahkan bahawa anugerah itu diterima bukan atas kapasiti peribadi semata-mata, tetapi bagi pihak seluruh rakyat Malaysia.
“Penganugerahan ini juga melambangkan keakraban persahabatan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, berteraskan kepercayaan, saling menghormati dan aspirasi bersama untuk keamanan serta kemakmuran sejagat,” katanya dipetik Berita Harian.
Tambah Anwar lagi, beliau berharap agar kerjasama antara Malaysia dan Turkiye merentasi pelbagai bidang strategik terus diperkukuh menerusi pengiktirafan itu, sekali gus membawa manfaat buat rakyat di kedua-dua negara.

Malaysia & Turkiye Meterai 7 Dokumen
Malaysia dan Turkiye yang sudah sedia ada mempunyai hubungan erat kini memperkukuhkan lagi kerjasama strategik merentasi pelbagai bidang keutamaan menerusi pemeteraian tujuh dokumen, iaitu:
- Deklarasi Bersama Mengenai Penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLCSS).
- Surat Niat (LoA) perolehan sebuah Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 2.
- Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pihak Berkuasa Informasi dan Teknologi Komunikasi Republik Turkiye.
- MoU Kerjasama Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA) dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.
- MoU Kerjasama Kewangan antara EXIM Bank Malaysia dan Turk Eximbank
- MoU Kerjasama Pelaburan antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Türkiye.
- Bertukar Minit Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Pendidikan Tinggi Malaysia-Turkiye.

Menerusi pemeteraian ini, Malaysia dan Turkiye dilihat sepakat bagi mewujudkan hubungan dua hala yang lebih tersusun, progresif dan saling melengkapi.
Dokumen yang dimeterai juga bersifat berteraskan kepentingan strategik serta manfaat jangka panjang kepada rakyat kedua-dua buah negara.
Baca Artikel Berkaitan: Anwar Ibrahim Top 10 Dalam Senarai 500 Tokoh Muslim Paling Berpengaruh Di Dunia
Baca Artikel Berkaitan: Anwar Ibrahim Bangga Skuad Penyelamat Malaysia Terima Pengiktirafan Dari Turkiye
Baca Artikel Berkaitan: Negara Yang Enggan Terima Resolusi PBB Harus Disingkir – Anwar Ibrahim



