Klinik Kesihatan Didakwa Tak Terima Kes ‘Walk-in’ Bermula Januari 2026, Ini Respon KKM
Sebelum ini, tular di laman Threads apabila seorang individu mendakwa fasiliti Klinik Kesihatan tidak lagi menerima pesakit secara walk-in sebaliknya hanya janji temu sahaja dibenarkan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui sejak 1 Januari 2023 lalu, semua perkhidmatan klinik kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan sistem janji temu aplikasi MySejahtera secara meluas untuk pesakit luar. Ini termasuklah untuk rawatan pergigian.
Pesakit tanpa janji temu pula akan diberikan slot jika mempunyai kekosongan manakala untuk kes kecemasan, pesakit boleh datang secara ‘walk-in’.
Namun baru-baru ini, timbul pula dakwaan bahawa KKM tidak lagi menerima mana-mana kes walk-in bermula 1 Januari 2026.
Baca Artikel Berkaitan: Rawatan ‘Scaling’ Gigi Menerusi Janji Temu Di Aplikasi MySejahtera Harga RM3 Je! Biar Betul?
Netizen Minta Hebahkan Kepada Orang Ramai Tentang Dakwaan KK Tak Terima Walk-in
Perkara itu mula tular di laman Threads, dan sesetengah individu berkata pengumuman tersebut sudah mula diuar-uarkan di platform WhatsApp.
“Pesanan khidmat pelanggan. Bermula Januari 2026, tiada lagi walk-in di Klinik Kesihatan di mana sahaja anda berada. Semuanya akan menggunakan MySejahtera untuk temu janji. Ingat-ingatkan orang tua kita, takut dah sampai dari jauh nanti tidak dilayan,” kata seorang netizen.

Seorang individu pula meminta orang ramai untuk memuat turun semula aplikasi MySejahtera memandangkan KK didakwa tidak lagi menerima kes walk-in. Malah dia juga meminta warganet untuk menghebahkan perkara itu.

KKM Nafi Fasiliti Klinik Kesihatan Tidak Lagi Terima Kes Walk-in
Cakna dengan dakwaan yang semakin menular, KKM dalam satu kenyataan di laman Facebook menafikan perkara tersebut. Menurutnya, dakwaan yang klinik kesihatan tidak lagi menerima kes walk-in itu telah menimbulkan kembimbangan di kalangan orang ramai.
“KKM ingin menjelaskan mesej yang telah tersebar dalam platform media sosial bahawa Klinik Kesihatan tidak akan menerima pesakit walk-in adalah tidak benar yang telah menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat.”
Jelas KKM, pesakit walk-in masih diterima khususnya bagi kes kecemasan, warga emas dan golongan yang mempunyai kekangan akses teknologi.
“Pesakit tanpa janji temu tetap dilayan namun perlu melalui proses penilaian (triage) terlebih dahulu. Pesakit yang mempunyai janji temu akan diberikan keutamaan mengikut slot masa yang telah ditetapkan.
“KKM amat memahami bahawa akses teknologi adalah berbeza bagi setiap individu. Oleh itu, perkhidmatan walk-in tetap diteruskan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat akses rawatan yang adil dan saksama,” tambah kenyataan itu lagi.
Ada Yang Was-was, Dakwa Ada Kakitangan KK Tidak Layan Kes Walk-in
Bagaimanapun segelintir individu masih berasa was-was dengan kenyataan tersebut. Mereka mendakwa bahawa kaedah walk-in tidak dilayan kakitangan KK.
“Saya pergi Klinik Pergigian UTC, diorang (staf) siap kata kalau tak ada booking tak dapat jumpa doktor padahal depan kaunter letak memo ‘digalakkan buat temu janji di MySejahtera’. Adakah kamu tahu bila sakit gigi? Bila nak demam?” tanya seorang lelaki.
“Tidak benar (penafian KKM) tetapi masa pergi walk-in anak saya demam tidak dilayan. Padahal demam kot. Nak kena buat (booking) dalam MySejahtera. Berlaku bulan November di sebuah klinik kesihatan. Terpaksa pula pergi hospital,” dakwa seorang lagi warganet.
Berikut antara komen-komen netizen:







