Najib Bersalah 4 Pertuduhan Guna Kedudukan & 21 Pengubahan Wang Haram Babit Dana 1MDB RM2.3b
Dalam perkembangan terbaharu, mahkamah turut mensabitkan Najib bersalah atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana 1MDB itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini (26 Disember) didapati bersalah terhadap kesemua empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan terbabit selepas mendapati Najib gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Bagi pertuduhan pertama, Najib didapati menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk memperoleh suapan RM60,629,839.43.
Untuk kesalahan ini, Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun berserta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didapati bersalah atas tuduhan menggunakan kedudukan bagi suapan RM90,099,927.28
Untuk pertuduhan ketiga, beliau didapati bersalah atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2,061,476,926, juga bagi diri sendiri, lapor Utusan.
Pertuduhan ini membabitkan usaha sama pelaburan antara 1MDB dan Aabar Investment (ADMIC) yang bertujuan membangunkan Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur lapor Berita Harian.
Selain itu beliau juga didapati bersalah atas pertuduhan keempat iaitu menggunakan kedudukannya bagi suapan RM44,570,920.70.
Keempat-empat pertuduhan ini didakwa dilakukan Najib melalui cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan pada tarikh antara 24 Feb 2011 hingga 19 Disember 2014.
Najib bersalah semua 21 pertuduhan AMLA
Dalam perkembangan terbaharu, mahkamah turut mensabitkan Najib bersalah atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana sama.
Jelas Collins, jejak tranksasi memperlihatkan wang-wang itu berasal daripada penerbitan bon 1MDB, lapor Berita Harian.
Bagi kesemua pertuduhan ini Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut melalui cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan antara 24 Feb 2011 hingga 19 Disember 2014. 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.
Lima daripada tuduhan itu membabitkan penggunaan hasil aktiviti haram yang diberikan kepada:
- UMNO (RM20,000,000)
- UMNO Bahagian Batu Kawan (RM100,000)
- Seorang individu Lim Soon Peng (RM246,000
- ORB Solutions Sdn Bhd (RM2,000,000)
- Semarak Konsortium Satu Sdn. Bhd. (RM303,000).
Keputusan mahkamah ini menjadikan Najib kini didapati bersalah untuk kesemua 25 pertuduhan termasuk 4 tuduhan menggunakan kedudukannya bagi memperoleh suapan dana terbabit.
Sebagai info Najib ketika ini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang berhubung kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd
Terdahulu pada sebelah pagi, mahkamah memutuskan empat surat derma Arab yang dijadikan sandaran oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk pembelaannya dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah palsu.
Menurut Collins, salinan asal surat berkenaan tidak pernah dikemukakan kepada mahkamah dan tiada pengesahan dibuat barisan pembelaan yang mewakili Najib, 72, dalam memastikan dana diterimanya benar-benar daripada Raja Arab Saudi ketika itu, Almarhum Raja Abdullah.



