Pemilihan Marhamah Dibuat Secara Bijaksana, Masyarakat Perlu Amal Sikap Tabayyun – Menteri Agama
Menurut Dr Zulkifli Hasan yang baru dilantik sebagai Menteri Agama, orang ramai perlu melihat sesuatu isu dari sudut yang lebih adil dan menapis maklumat dengan beretika supaya keputusan dibuat tepat, adil serta bermanfaat kepada diri dan masyarakat
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zukifli Hasan menjelaskan pemilihan Timbalannya, Marhamah Rosli yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah melalui pertimbangan yang bijaksana.
Susulan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak bersikap terlalu menghukum atau membuat penilaian terburu-buru terhadap isu yang tular di media sosial.
Masyarakat perlu amal sikap tabayyun
Menurutnya, masyarakat perlu mengamalkan sikap tabayyun dengan membuat siasatan serta verifikasi terhadap setiap maklumat yang diterima, selain tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu atau khabar angin.
Untuk info, tabayyun bermaksud menyelidik, meneliti atau memastikan kesasihan sesuatu berita atau maklumat sebelum menerima, percaya atau menyebarkannya.
“Kita perlu melihat sesuatu isu dari sudut yang lebih adil dan menapis maklumat dengan beretika supaya keputusan dibuat tepat, adil serta bermanfaat kepada diri dan masyarakat,” katanya dipetik Harian Metro.
Pelantikan Marhamah dipersoal netizen, terdapat beberapa isu dibangkitkan
Difahamkan, isu pelantikan Marhamah sebagai Timbalan Menteri Agama telah menimbulkan persoalan ramai di media sosial mengenai kelayakannya memegang jawatan itu.
Tidak hanya itu, isu berkaitan beliau yang tular sebelum ini turut mengundang pelbagai reaksi termasuk kecaman segelintir netizen.
Antara isu yang dikaitkan dengan beliau adalah:
- Kontroversi kempen dan kutipan dana #JusticeForZara
- Dakwaan terbabit penipuan emas
- Dakwaan ‘New Age’
Bapa saudara tampil perjelas isu dikaitkan dengan Marhamah
Malah, bapa saudaranya, Dr Badrulamin sebelum ini pernah tampil memberi penjelasan berhubung isu-isu berkenaan.
Jelasnya, Marhamah adalah mangsa penipuan sindiket ‘scam’ emas dan bukanlah ejen seperti yang didakwa di media sosial.
Ujar Badrulamin, pihak polis sudah menjalankan siasatan berkaitan kes itu dan Marhamah juga memberikan kerjasama penuh.
“Dalam soal dana #JusticeForZara pula, Marhamah mendapat permit daripada Jabatan Ketua Menteri, malah polis juga sudah dimaklumkan mengenai tabung ini. Audit dalaman juga dibuat dan dilaporkan kepada pihak polis.
“Dana itu digunakan untuk membantu keluarga dan saksi bagi menghadiri persiapan, mesyuarat berkaitan inkues dan prosiding mahkamah.
“Tiada nama Marhamah dalam akaun itu, sebaliknya nama peguam, ibu Zara dan wakil badan bukan kerajaan (NGO),” katanya dipetik Berita Harian.
Mengulas isu ‘New Age’ yang dikaitkan dengan Marhamah, Badrulamin berkata perkara itu hanyalah soal persepsi, malah tiada bukti daripada mana-mana pihak yang boleh mengesahkan anak saudaranya menjadi penganut ajaran berkenaan.
Marhamah disenarai dalam rombakan Kabinet Kerajaan Madani
Terdahulu, pada 16 Disember, Marhamah telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Agama dan telah mengangkat sumpah sebagai di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Pelantikan itu susulan pengumuman perubahan barisan Kabinet Kerajaan Madani oleh Anwar yang menyaksikan pertukaran portfolio beberapa menteri dan timbalan menteri, termasuk pelantikan muka baharu.
Baca Artikel Berkaitan: Zaliha & Mohd Na’im Digugur Daripada Kabinet Kerajaan Madani, Hannah Yeoh Tukar Kementerian
Baca Artikel Berkaitan: Rombakan Kabinet: Tiada Tempoh Honeymoon Untuk Menteri Baharu
Baca Artikel Berkaitan: Anwar Ibrahim Umum Rombakan, Ini Senarai Penuh Kabinet Kerajaan Terkini



