LHDN Perkukuh Pelaksanaan e-Invois Dengan Sesi Libat Urus, Sudah Terima 820 Juta e-Invoice Sejak 2024
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, kerajaan tidak mahu e-Invois dilihat sebagai beban, sebaliknya sebagai satu langkah ke arah pendigitalan yang lebih teratur dan cekap.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kerajaan menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus menunjukkan komitmen untuk memastikan pelaksanaan e-Invois di Malaysia berjalan lancar dan mesra perniagaan, khususnya melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Komitmen ini dizahirkan menerusi penganjuran Sesi Libat Urus HASiL bersama persatuan perdagangan yang menghimpunkan 21 wakil dewan perniagaan dan persatuan sekitar Lembah Klang yang diadakan di Cyberjaya pada hari ini (22 Disember).
Sesi ini menjadi tempat perbincangan terbuka antara kerajaan dan komuniti perniagaan bagi membincangkan isu percukaian serta cabaran pelaksanaan e-Invois secara terus.

Pendapatan tahunan bawah RM1 juta dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois
Antara inisiatif kerajaan yang mendapat perhatian ialah peningkatan nilai ambang pengecualian e-Invois daripada pendapatan tahunan RM500,000 kepada RM1 juta ke bawah yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
Langkah ini pastinya membuatkan perusahaan mikro dan kecil yang masih dalam fasa menstabilkan operasi perniagaan menarik nafas lega, di samping memberi ruang untuk mereka memperkemaskan pengurusan transaksi secara berperingkat.
Kenaikan had ini juga bertujuan mengurangkan beban kos pelaksanaan sistem e-Invois untuk peniaga kecil dan sederhana (PKS).
e-Invois adalah langkah ke arah pendigitalan yang lebih teratur dan cekap
Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin menjelaskan bahawa pendekatan libat urus berterusan amat penting supaya pelaksanaan e-Invois bukan sahaja berkesan, malah selari dengan realiti semasa perniagaan.
Menurutnya, kerajaan tidak mahu e-Invois dilihat sebagai beban, sebaliknya sebagai satu langkah ke arah pendigitalan yang lebih teratur dan cekap.

Perusahaan mikro dan kecil tetap digalakkan laksana e-Invois
Walaupun dikecualikan buat masa ini, pembayar cukai dalam kalangan perusahaan mikro dan kecil tetap digalakkan untuk melaksanakan e-Invois secara sukarela.
Hal ini kerana ia mampu membantu peniaga mendigitalkan operasi, meningkatkan kecekapan, serta memudahkan urusan rekod dan pematuhan cukai dalam jangka panjang.
Untuk info, pelaksanaan e-Invois telah bermula secara berfasa sejak 1 Ogos 2024 dan kini ke Fasa 4 melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM5 juta.
Setakat ini, penerimaan terhadap sistem ini dilihat sangat positif apabila lebih 820 juta e-Invois telah dikeluarkan dengan penyertaan lebih 111,600 pembayar cukai, termasuk yang melaksanakan e-Invois secara sukarela.
Kerajaan sediakan pelbagai kemudahan kepada pemain industri
Bagi memastikan peralihan ke sistem baharu ini berjalan lancar, kerajaan turut menyediakan pelbagai kemudahan sokongan seperti:
- Portal MyInvois
- Aplikasi mudah alih MyInvois
- MyInvois e-POS
- Fungsi kod QR pembayaran cukai
- Carian Nombor Pengenalan Cukai (TIN)
- Kaunter perkhidmatan e-Invois di 35 pejabat HASiL di seluruh negara.
HASiL juga akan terus mempergiat usaha kesedaran dan pendidikan berkaitan e-Invois serta memperkukuh sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.
Pendekatan ini selari dengan hasrat kerajaan untuk membina ekosistem percukaian dan perniagaan yang lebih progresif, inklusif dan mampan, tanpa meminggirkan keperluan sebenar pemain industri.
Sebarang pertanyaan dan maklum balas, sila hubungi HASiL menerusi:
- Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (Luar Negara)
- HASiL Live Chat
- Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL



