“Kenyataan Kurang Ajar” – Seolah Rai Hukuman Najib, Asyraf Wajdi & Pemimpin UMNO Selar Yeo Bee Yin
Asyraf Wajdi menerusi satu hantaran di Facebok berkata tindakan Yeo Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong itu sebagai kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusiaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyelar tindakan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Yeo Bee Yin berhubung tindakannya memuat naik posting di Facebook seolah ‘meraikan’ keputusan mahkamah yang menolak permohonan bekas Perdana Menteri untuk meminta kerajaan melaksanakan Titah Adendum bagi menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Baca Artikel Berkaitan: Mahkamah Tinggi Tolak Permohonan ‘House Arrest’, Najib Kekal Di Penjara Kajang
Asyraf Wajdi menerusi satu hantaran di Facebok berkata tindakan Ahli Parlimen Puchong itu sebagai kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusiaan.
“Jika tidak mampu untuk menzahirkan sekelumit perasaan simpati sekalipun, janganlah mengeluarkan kenyataan kurang ajar dan menyakitkan hati.
“Apatah lagi yang dihina merupakan bekas pemimpin tertinggi yang amat disayangi oleh seluruh keluarga besar UMNO yang hari ini membantu membentuk Kerajaan Perpaduan,” kata Asyraf Wajdi.
Tegas Pengerusi MARA itu lagi, mungkin sudah tiba masanya untuk UMNO memperhalusi kembali kerjasama yang terjalin dalam membentuk Kerajaan Perpaduan jika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai sumbangan dan perjuangan UMNO selama ini.
Dr Zambry Kadir turut tegur Yeo
Selain Asyraf, Setiausaha Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir turut menegur kenyataan Yeo yang disifatkannya sebagai tidak wajar.
Menteri Pendidikan Tinggi itu turut mempersoalkan mengapa Bee Yin mengeluarkan kenyataan sedemikian seolah-olah gembira dengan penderitaan Najib.
“Mengapa perlu diraikan? Jangan meraikan penderitaan orang lain.
“Hidup ini ibarat satu kitaran. Ingatlah, pemimpin anda juga tidak terlepas daripada kesilapan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Akmal Saleh gesa UMNO tarik sokongan dari kerajaan
Selain mereka berdua, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh turut tidak berpuas hati dengan kenyataan Bee Yin dan menggesa partinya agar menarik sokongan terhadap kerajaan.
“Apa lagi yang perlu kita tunggu? Tarik sajalah sokongan daripada kerajaan ini.
“Biar kita jadi pembangkang yang bermaruah daripada dihina dari puak-puak bebal ini,” katanya dalam satu video.
ADUN Lembah Jaya dari Parti PKR, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad atau lebih dikenali sebagai Altimet turut memberikan respon ringkas berhubung isu itu.
Menerusi X, bekas penyanyi rap itu meninggalkan komen pendek bertulis ‘Uncouth’ dan ‘Uncalled for’ yang bermaksud biadap dan tidak wajar berserta tangkap layar hantaran Yeo yang mencetuskan kontroversi itu.
Uncouth.
— Altimet.eth (@altimet) December 22, 2025
Uncalled for. pic.twitter.com/icEhl0eeO7
Terdahulu Yeo memuat naik satu posting di Facebook merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum.
“Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini,” tulis Yeo dalam hantaran berkenaan.
Kenyataan itu mencetuskan kemarahan orang ramai khususnya penyokong Najib yang menyifatkan ianya sebagai biadap.



