Kes Penemuan Mayat Wanita Dalam Beg Di N9, Ini Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini
Pihak polis mengesahkan mayat yang ditemui di dalam beg itu adalah seorang wanita yang disyaki berkait laporan orang hilang di Ampang, Selangor pada 15 Disember lalu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (18 Disember), negara dikejutkan dengan berita penemuan satu mayat di dalam sebuah beg di sebuah rumah yang tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, bagaimanapun, jantina serta identiti mangsa belum dapat dikenal pasti dan pihaknya masih menjalankan siasatan.
“Mayat dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya kepada Bernama dipetik Awani.
Mayat ditemui adalah wanita yang disyaki hilang di Ampang
Tidak lama selepas itu, pihak polis kemudiannya mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah seorang wanita yang disyaki berkait laporan orang hilang di Ampang, Selangor.
Alzafny berkata, pada Isnin lalu (15 Disember), satu laporan polis berkaitan orang hilang membabitkan seorang wanita diterima Balai Polis Ampang.
Jelasnya, susulan itu, maklumat lanjut diperoleh daripada satu laporan di Balai Polis Pedas, Rembau.
“Bertindak atas maklumat itu, pihak polis pergi ke sebuah rumah di Jalan Pedas- Linggi dan pemeriksaan di sekitar kawasan rumah mengesan berlakunya unsur perlakuan jenayah di kawasan belakang rumah,” katanya dipetik Harian Metro.
Suri Narudin disedari hilang selepas gagal tiba di Zurich
Difahamkan, wanita yang dilaporkan hilang pada Isnin lalu di Ampang itu dikenali sebagai Suri Narudin berusia 53 tahun.
Kehilangan suri hanya disedari selepas beberapa hari wanita itu gagal tiba di Zurich, Switzerland seperti dijadualkan, sebelum rakan yang menunggu di sana menghubungi keluarga mangsa di Sarawak.

Menurut rakan Suri yang merupakan seorang penyanyi, Mac Ruhayu, kehilangan Suri hanya mula mencetuskan kegelisahan apabila beberapa hari berlalu tanpa sebarang khabar, sedangkan mangsa kebiasaannya mudah dihubungi dan sentiasa memaklumkan pergerakan kepada rakan terdekat.
Bagaimanapun, katanya, selepas desakan berterusan termasuk penyebaran maklumat awam dan dia sendiri memuat naik satu rakaman video di media sosial berhubung kehilangan Suri, siastan mula digerakkan dengan lebih meluas.
View on Threads
Seorang lelaki ditahan reman bagi membantu siasatan kes penemuan mayat dalam beg
Pada Jumaat tengah hari (19 Disember), seorang lelaki direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Tampin bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat dalam beg terbabit.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Idzam Jaafar berkata, tangkapan suspek berusia 41 tahun itu dibuat di Melaka semalam dalam tempoh kurang 24 jam penemuan mayat dalam beg tersebut.
Suspek kini direman seminggu sehingga khamis depan (25 Disember) untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Siasatan polis setakat ini mendapati suspek mungkin mengenali mangsa namun polis belum mempunyai maklumat sama ada dia terlibat dalam kes itu secara langsung atau tidak.
Suspek juga memiliki enam rekod jenayah lampau termasuk dadah.
“Buat masa ini, bedah siasat sedang dijalankan pagi ini di Hospital Rembau bagi mengenalpasti mangsa, punca kematian dan identiti,” kata Idzam.
Identiti mayat belum dapat dipastikan 100% Suri buat masa ini
Dalam pada itu, Mac Ruhayu berkata buat masa ini identiti mayat yang ditemui itu belum dapat dipastikan 100% adalah Suri.
“Anak saudara Suri yang tinggal bersamanya di Ampang sudah ke Hospital Rembau untuk proses pengecaman mayat.
“Saya dimaklumkan pengesahan identiti mangsa masih memerlukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi menentukan secara muktamad sama ada mayat yang ditemukan adalah Suri,” katanya.
Ujarnya, dia sendiri akan ke Hospital Rembau dalam masa terdekat bagi urusan seterusnya selepas proses bedah siasat selesai, sebelum membawa pulang jenazah ke Sarawak.
“Jika disahkan mangsa itu adalah Suri, kita akan uruskan dengan kerjasama Rumah Sarawak. Jenazahnya akan dibawa balik ke kampung halamannya di Kuching, Sarawak.
“Sebagai rakan rapat dan keluarga, saya memang terasa amat sedih. Memang berharap dia ditemui selamat dan sempurna. Namun jika ini sudah takdirnya, saya terima,” katanya.

