Larangan Bawa Haiwan Peliharaan Ke Pusat Beli Belah Di Selangor Masih Kekal – Exco
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim, bagaimanapun berkata kerajaan negeri itu akan meneliti semula garis panduan sedia ada.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak kebelakangan ini, kecoh isu sebuah pusat beli-belah yang baharu dibuka di Selangor yang mesra haiwan peliharaan.
Dikatakan pusat beli-belah tersebut membenarkan pengunjung untuk membawa bersama haiwan peliharaan, namun tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
Mengulas isu berkenaan, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, larangan membawa haiwan peliharaan ke pusat beli-belah di negeri itu masih kekal.
Selangor Akan Teliti Semula Dasar Larangan Haiwan Peliharaan Ke Pusat Beli-Belah
Jelasnya, walaupun dasar tersebut masih berkuat kuasa, garis panduan sedia ada akan diteliti semula oleh kerajaan negeri itu agar dapat melindungi keharmonian masyarakat.
Lim turut memetik bahawa terdapat dasar di negara tertentu yang membenarkan haiwan peliharaan untuk dibawa ke merata tempat, termasuk pusat beli-belah.
“Kita di Selangor sebagai satu negeri maju dan bertaraf antarabangsa, semua langkah-langkah terkait dengan polisi antarabangsa, kita cuba akan teliti.
“Seperti di negara tertentu (dasar mereka) mereka memang mesra (haiwan peliharaan), boleh bawa haiwan ke sini, ke sana, masuk ke pusat beli-belah dan sebagainya,” ujarnya
Perlu Utamakan Budaya Pelbagai Kaum Sebelum Jalankan Langkah Tertentu
Dalam masa sama, Exco Selangor itu menegaskan tentang budaya pelbagai kaum di Malaysia yang perlu dijadikan penanda aras bagi menjalankan dasar sedemikian.
“Bagaimanapun, berdasarkan budaya kita yang pelbagai kaum dan sebagainya, kita perlu teliti sama ada semua langkah mereka itu boleh atau sesuai diguna pakai di semua tempat, di pusat beli-belah dan sebagainya,” katanya dipetik Awani.
Pusat Beli-Belah Tetapkan Garis Panduan Untuk Bawa Haiwan Peliharaan
Walaupun pusat beli-belah tersebut membenarkan pengunjung membawa haiwan peliharaan, namun ia tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan.
Berdasarkan laporan MalayMail, antara garis panduan yang ditetapkan termasuk:
- Meletakkan haiwan peliharaan di dalam kereta sorong (stroller) atau pengangkut (carrier) sepanjang masa.
- Mereka yang membawa haiwan peliharaan perlu menggunakan lif khas.
- Haiwan peliharaan perlu dikawal selia dan dijaga dengan rapi sepanjang berkunjung ke pusat beli-belah.
- Utamakan kebersihan dan etika di tempat awam.
- Elakkan menghalang laluan atau pintu masuk dengan stroller.
Menurutnya lagi, haiwan peliharaan yang agresif atau bising melampau mungkin akan diminta pulang ke rumah.
Setiap kedai juga mempunyai polisi masing-masing sama ada mereka membenarkan haiwan peliharaan dibawa masuk mahupun tidak.
Di samping itu, garis panduan tersebut turut menegaskan tanggungjawab para pemilik bagi sebarang kecederaan, kerosakan atau insiden yang disebabkan oleh haiwan peliharaan ketika di premis berkenaan.
Malah foto papan notis peringatan di pusat beli belah itu turut tular di media sosial.

Sekadar info, lokasi berkenaan bukanlah satu-satunya pusat beli-belah yang membenarkan haiwan peliharaan dibawa masuk. Terdapat beberapa lagi premis lain di sekitar Lembah Klang yang mengizinkan perkara itu.
Baca Artikel Berkaitan: