19 Pegawai AKPS KLIA Dikenakan Tindakan Tatatertib, 43 Kes Disiasat
Kesemua 19 pegawai telah dikenakan tindakan tatatertib yang termasuk amaran, tangguh pergerakan gaji dan penurunan gaji, selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Hari ini (15 Disember), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendedahkan seramai 19 orang pegawainya dikenakan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan.
Menerusi siaran media di Facebook AKPS KLIA, antara kesalahan yang terlibat adalah tidak hadir bertugas serta melanggar prosedur kerja berkaitan cap keselamatan masuk dan keluar negara.
Keputusan itu telah dibuat dalam persidangan Lembaga Tatatertib (LTT) pada Jumaat lalu (12 Disember).
19 Pegawai AKPS KLIA Dikenakan Tindakan Tatatertib Termasuk Turun Gaji
Sehubungan itu, tindakan tatatertib dikenakan terhadap 19 pegawai terlibat termasuk amaran, tangguh pergerakan gaji dan penurunan gaji, selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa.
“Seramai 19 pegawai terlibat didapati bersalah atas pelbagai kesalahan antaranya tidak hadir bertugas, langgar prosedur kerja berkaitan cap keselamatan masuk atau keluar negara.
“Kesemua mereka dikenakan tindakan tatatertib antaranya amaran, tangguh pergerakan gaji serta penurunan gaji, ia selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa,” katanya.
AKPS KLIA Siasat 43 Kes Tatatertib
Dalam masa sama, AKPS KLIA turut membuka 43 kes siasatan tatatertib yang melibatkan integriti pegawainya dalam pelbagai kesalahan seperti berikut:
- Pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP)
- Pelanggaran prosedur dan peraturan kerja, khususnya yang melibatkan penggunaan cap keselamatan masuk dan keluar negara
- Kawalan pemeriksaan kaunter
- Kesalahan berkaitan amalan ‘flying passport’ (pasport dicop tanpa kehadiran fizikal) dan ‘counter setting’ (individu dibenarkan melepasi kaunter pemeriksaan tanpa mengikuti prosedur sebenar)
Katanya lagi, kesemua kesalahan ini menjejaskan integriti kawalan sempadan negara.
“AKPS KLIA menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku atau pelanggaran integriti, terutamanya dalam aspek kawalan masuk dan keluar negara yang merupakan elemen kritikal keselamatan negara,” ujarnya.
AKPS Ditubuhkan Pada 2024, Ini Fungsinya
Sebagai info, AKPS telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Januari 2024 sebelum penetapan dasarnya diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 3 Januari tahun sama.
Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia [Akta 860] kemudiannya diwartakan pada 17 Oktober 2024, menjadikannya pelaksanaan undang-undang yang sah bagi mengawal selia operasi AKPS.
Secara ringkasnya, AKPS diwujudkan untuk menjalankan fungsi pemeriksaan dan kawalan di pintu masuk negara. Berdasarkan Seksyen 6 Akta AKPS 2024, antara fungsi agensi ini termasuk:
- Pemeriksaan dan kawalan orang yang memasuki atau meninggalkan Malaysia.
- Pemeriksaan dan kawalan barang-barang yang dibawa ke dalam atau keluar dari kawasan yang ditetapkan.
- Pemeriksaan, kawalan dan kuarantin apa-apa tumbuh-tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang dibawa ke dalam atau keluar dari Malaysia.
- Pemeriksaan dan kawalan apa-apa kenderaan yang dibawa ke dalam atau keluar dari Malaysia.
- Pemeriksaan dan kawalan makanan dan benda yang bersampingan dengan makanan, dadah, racun, kosmetik dan benda lain yang berkaitan dengan kesihatan yang dibawa ke dalam atau keluar dari Malaysia.
- Pemeriksaan dan kawalan hidupan liar, bahagian hidupan liar atau terbitan hidupan liar yang dibawa ke dalam atau keluar dari Malaysia.
- Pencegahan dan penyiasatan mana-mana kesalahan dan pengeluaran apa-apa dokumen berkaitan fungsi AKPS. Melaksana rondaan, mengumpul maklumat dan risikan bagi kawalan dan perlindungan sempadan.
- Mengurus dan mentadbir mana-mana kompleks pintu masuk.
AKPS telah melakukan operasi rintis di Kompleks ICQS Rantau Panjang, Kelantan pada 1 Januari 2025 sebelum meluaskan operasinya di 21 lokasi pintu masuk negara. Ia dijangka akan beroperasi di kesemua 114 pintu masuk negara yang aktif menjelang 1 Januari 2026.



