fbpx
Now Reading
Tak Perlu Iktiraf UEC Selagi Sistem Itu Tidak Harmoni Aspirasi Nasional – Mohamad Hasan

Tak Perlu Iktiraf UEC Selagi Sistem Itu Tidak Harmoni Aspirasi Nasional – Mohamad Hasan

Walau bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO itu berkata, rakyat Malaysia yang tidak meyakini misi pendidikan nasional mempunyai pilihan untuk belajar dalam sistem UEC tanpa sebarang halangan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kerajaan tidak mempunyai masalah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dengan syarat ia dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan dan digubal menepati aspirasi nasional.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih mesra disapa Tok Mat berkata, selagi UEC tidak menepati ciri berkenaan, maka ia tidak boleh disetarakan dengan kelayakan nasional.

“Sebagai sebuah negara yang berdaulat, sistem pendidikan mestilah dibina selaras aspirasi nasional. Ia mesti disandarkan pada misi, nilai, kepentingan dan cita-cita nasional dan ia mesti dilaksanakan dalam bahasa ibunda bagi memperkukuh identiti kebangsaan.

“Namun bagi meraikan kepelbagaian dan meraikan kepentingan kaum berlainan, kerajaan tidak pernah menghalang UEC di laksanakan. Ia telah di laksanakan oleh Dong Zong semenjak 1975 lagi dan ia tidak menghadapi apa jua masalah pelaksanaan,” kata Tok Mat yang juga Menteri Luar Negeri.

Tak mudah kukuhkan perpaduan nasional

Menurutnya, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, bukanlah mudah untuk mengukuhkan perpaduan nasional.

“Kerana itu kita percaya, satu-satunya jalan bagi membentuk identiti nasional ialah melalui pendidikan dalam bahasa kebangsaan dan kurikulum yang direka bersumber kearifan tempatan dan diimbangi dengan standard antarabangsa.

“Kita lakukannya dengan mengambil kira agar standard kita tidak tersasar dari amalan terbaik antarabangsa.

“Pendidikan jangan lah kita politikkan. Ia adalah satu-satunya arena untuk anak-anak kita, daripada pelbagai bangsa, belajar bekerjasama antara satu sama lain dalam semangat yang muhibbah,” katanya.

Tiada halangan rakyat Malaysia ingin belajar dalam sistem UEC

Menurutnya lagi, rakyat Malaysia yang tidak meyakini misi pendidikan nasional mempunyai pilihan untuk belajar dalam sistem UEC tanpa sebarang halangan.

“Tetapi janganlah kerajaan dipaksa untuk mengiktiraf dan menyamaratakan kelayakan tersebut kerana ia tidak digubal untuk memupuk identiti dan keunikan sistem pendidikan nasional.

“Bagi tujuan kemasukan ke universiti, ia tidak menjadi masalah. Ia diterima di kebanyakan universiti di Malaysia dan di luar negara,” katanya.

Tegas Tok Mat, selagi tiada usaha mereformasi sistem UEC agar diharmonikan dengan aspirasi nasional, maka ia kekal sebagai sistem yang tidak setara dengan sistem pendidikan kebangaan serta tidak perlu untuk diiktiraf dengan selayaknya.

Nga Kor Ming dedah DAP ingin adakan pertemuan dengan PM berhubung isu UEC

Terdahulu, tular di media sosial kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang mendedahkan bahawa parti itu akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pengiktirafan UEC.

Difahamkan, kenyataan yang dibuat Nga pada Isnin lalu (8 Disember) itu pada awalnya hanya disiarkan di media sosial dan media berbahasa Cina, namun kemudian ia diterjemah sekali gus mengundang perhatian ramai.

Memetik laporan MalaysiaKini, ia telah mencetus semula kecaman serta dakwaan bahawa DAP ingin mengancam kedudukan orang Melayu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh kemudiannya memberi teguran kepada Nga agar memahami terlebih dahulu Dasar Pendidikan Kebangsaan sebelum membangkitkan isu UEC.

“Tiada keperluan dan kita tidak akan berkompromi untuk mengiktiraf UEC!” kata Akmal dalam satu hantaran video di Facebook.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.