Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Polis sedang giat mengesan individu yang melastik seorang pelancong wanita warga China dalam kejadian di Jalan Kota Kinabalu Lama 2, berhampiran bangunan Public Bank pada kelmarin (8 Disember).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden kira-kira jam 7 malam membabitkan pelancong wanita berusia 31 tahun itu.
Mangsa dilastik ketika berjalan kaki dengan suami
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa sedang berjalan kaki bersama suaminya sebelum tiba-tiba terkena objek dipercayai dilastik dari sebuah kenderaan yang sedang bergerak.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada bahagian badan sebelum tampil membuat laporan polis.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang membahayakan keselamatan orang lain,” katanya dipetik Berita Harian.
Polis minta orang ramai bantu siasatan, siapa ada rakaman dashcam sila tampil
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang berada di lokasi kejadian pada waktu berkenaan untuk tampil membantu siasatan.
Beliau turut meminta mana-mana pemilik kenderaan yang mempunyai rakaman dashcam dan melakui Jalan Kota Kinabalu Lama 2 atau Jalan Pantai antara jam 6.45 petang hingga 7.15 malam pada tarikh kejadian supaya menyalurkan maklumat kepada polis.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Damian Frederick di talian 017-6561513 atau Bilik Gerakan IPD Kota Kinabalu di talian 088-310208,” katanya.