fbpx
Now Reading
Ahli Parlimen Kerap Tidak Hadir Ke Sidang Jejas Demokrasi – Penganalisis

Ahli Parlimen Kerap Tidak Hadir Ke Sidang Jejas Demokrasi – Penganalisis

Penganalisis Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian menjelaskan bahawa meningkatkan jumlah kehadiran ke sidang Parlimen adalah penting bagi mengukuhkan kepercayaan oleh orang awam.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Setiap Ahli Parlimen (MP) yang dilantik perlu menghadiri sesi Dewan Rakyat yang penting bagi membincangkan isu semasa, mengusulkan cadangan dan menyertai perdebatan.

Namun tidak dapat dinafikan bahawa segelintir MP kerap tidak hadir ke sidang Parlimen, malah mencatatkan ketidakhadiran sehingga lebih 60%. Ini bermakna kehadiran mereka dari keseluruhan sesi Dewan Rakyat hanya mencecah 40%.

Berdasarkan laporan The Star, para penganalisis menegaskan bahawa ketidakhadiran kronik MP menunjukkan ‘komitmen rendah’ terhadap tugas awam dan menimbulkan persoalan sama ada mereka memenuhi mandat dijanjikan, walaupun yang asas.

Kata mereka, ketidakhadiran ini perlu ditangani menerusi undang-undang yang lebih ketat agar pihak terbabit bertanggungjawab dan integriti proses demokrasi dapat ditegakkan.

Mengambil contoh di negara-negara seperti India, Ghana dan Nigeria, wakil yang dipilih telah menerima kritikan dari rakyat akibat tidak hadir ke sesi Parlimen.

Malah sesetengah daripada mereka telah dipecat dari jawatan kerana hanya hadir kurang separuh daripada jumlah sidang Parlimen.

Kumpulan masyarakat sivil di negara-negara itu berhujah bahawa menguatkuasakan undang-undang di sesi Parlimen yang separuh kosong melemahkan kesahihan parlimen dan mewakili ‘krisis diam’ dalam demokrasi.

Konsituensi ‘Hilang’ Perwakilan Apabila Ahli Parlimen Tidak Hadir Ke Sesi Dewan Rakyat

Mengulas lanjut, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata ketidakhadiran yang berterusan menunjukkan mesej tentang bagaimana wakil yang dilantik memegang tanggungjawab mereka.

“Apabila Ahli Parlimen tidak hadir, konstituensi mereka kehilangan suara dalam perdebatan dan keputusan. Perwakilan menderita, dan pengundi tidak menerima keadilan,” katanya.

Dia juga berkata bahawa kehadiran ke sidang Parlimen perlu diletakkan sebagai keutamaan walaupun para menteri mempunyai beban kerja yang lebih banyak.

“Jika Perdana Menteri boleh hadir lebih 100 hari sidang, ia menimbulkan persoalan apabila menteri kurang hadir,” jelasnya.

Sivamurugan turut menekankan bahawa ketidakhadiran dalam kalangan MP tanpa jawatan kerajaan adalah lebih sukar untuk diterima.

“Parlimen adalah asas demokrasi kita, dan tidak hadir ke sidang Dewan menunjukkan komitmen lemah terhadap mandat yang pengundi telah amanahkan kepada mereka,” katanya.

Dia menjelaskan bahawa meningkatkan jumlah kehadiran adalah penting bagi mengukuhkan kepercayaan oleh orang awam.

Hanya 14 Ahli Parlimen Catat Kehadiran Penuh

Berdasarkan analisis oleh Dashboard Parlimen Malaysia Calmic, beberapa MP mencatatkan kehadiran tercorot dalam Dewan Rakyat terutamanya Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) dengan kehadiran hanya 67 daripada 288 hari (29.8%).

Ini diikuti dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (68 hari) dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) (82 hari). Sementara lain-lain yang mempunyai jumlah kehadiran rendah merupakan menteri atau pemimpin negeri yang mempunyai pelbagai peranan.

Walaupun merupakan seorang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai tahap kehadiran 47.6% (107 hari), iaitu lebih tinggi berbanding ramai daripada mereka yang berada dalam senarai tersebut.

Sebagai perbandingan, sebanyak 14 MP mencatatkan kehadiran penuh antaranya:

  • Afnan Hamimi (PN-Alor Setar)
  • Teresa Kok (PH-Seputeh)
  • Syed Saddiq (MUDA-Muar)

Namun ahli parlimen secara keseluruhannya menerima lebih RM322 juta gaji dan elaun sejak mengangkat sumpah.

Ketidakhadiran Ke Sesi Dewan Rakyat Terkait Dengan Budaya Parlimen

Di samping itu, Dr Abdolreza Alami dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata corak ketidakhadiran ini menunjukkan isu struktur yang lebih mendalam berkaitan budaya parlimen di Malaysia, iaitu apabila sesetengah pemimpin senior tidak lagi melihat Parlimen sebagai arena penglibatan politik yang utama.

Katanya Abdul Hadi yang juga merupakan Presiden PAS mempertahankan kehadiran rendahnya dengan berbahas bahawa ‘hadir ke Parlimen bukan seperti pergi ke sekolah’.

Dia turut menyatakan ketidakhadirannya sebagai seolah-olah ruang bagi MP yang lebih muda untuk mendapatkan pendedahan.

“Meskipun kehadiran fizikalnya rendah, dia kekal aktif menerusi soalan bertulis yang menunjukkan penglibatan birokratik yang berterusan, walaupun suaranya tidak kedengaran dalam perbahasan,” kata Abdolreza.

Tambahnya, Hishammuddin pula yang digantung dari parti meletakkannya dalam situasi politik yang terasing, menyebabkan rekod kehadiran rendah.

Pun begitu, Abdolreza berkata kedua-dua Abdul Hadi dan Hishammuddin masih mendapatkan jaringan sokongan tempatan yang kuat walaupun ketidakhadiran mereka melemahkan kualiti perwakilan.

Pakar Beri Cadangan Kenakan Penalti Pada Ahli Parlimen Dengan Kehadiran Rendah

Dalam mengambil tindakan terhadap kehadiran rendah MP ke sidang Parlimen, Sivamurugan mencadangkan agar penalti seperti amaran, elaun dikurangkan atau penjelasan wajib dikenakan.

Tambah Abdolreza pula, Ghana secara automatiknya mengosongkan kerusi MP selepas 15 kali tidak hadir, dan Iran mengumumkan MP yang ponteng sidang secara umum.

“Meningkatkan kehadiran bukan hanya soal prosedur. Ia adalah penting bagi mengembalikan kepercayaan umum dan menguatkan demokrasi parlimen di Malaysia,” katanya.

Semak Kehadiran Ahli Parlimen

Sebagai makluman, orang ramai boleh menyemak kehadiran ahli politik ke sidang Parlimen menerusi laman web Calmic Parlimen Malaysia.

Sebagai info, selain Syed Saddiq, Afnan dan Teresa, baki 14 MP yang telah hadir penuh ke semua 228 sidang Parlimen setakat ini adalah:

  • Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh)
  • Oscar Ling (PH-Sibu)
  • Idris Ahmad (PN-Bagan Serai)
  • Pang Hok Liong (PH-Labis)
  • Sabri Azit (PN-Jerai)
  • Wan Hassan Ramli (PN-Dungun)
  • Chong Zhemin (PH-Kampar)
  • Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan)
  • Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai)
  • Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah)
  • Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut)
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.