fbpx
Now Reading
Kerajaan Akan Sekat Kanak-Kanak Bawah 16 Tahun Dari Platform Media Sosial – Fahmi Fadzil

Kerajaan Akan Sekat Kanak-Kanak Bawah 16 Tahun Dari Platform Media Sosial – Fahmi Fadzil

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pembekal perkhidmatan dalam talian perlu menawarkan alat kawalan ibu bapa yang efektif serta bertepatan dengan garis panduan komuniti atau terma penggunaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Secara umumnya, penggunaan media sosial bagi kanak-kanak yang berusia kurang daripada 13 tahun adalah dilarang. Namun masih ramai dalam kalangan mereka yang mempunyai akses terhadap platform sedemikian.

Terbaharu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa kanak-kanak bawah 16 tahun bakal disekat (block) dari mana-mana platform media sosial.

Dalam masa sama, kawalan kandungan juga akan diketatkan bagi remaja bawah 18 tahun, sebagai sebahagian daripada 10 undang-undang subsidiari yang sedang dirangka di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).

Baca Artikel Berkaitan: Umur Bawah 16 Tahun Dilarang Miliki Akaun Media Sosial, Berkuat Kuasa 2026 – Fahmi Fadzil

Baca Artikel Berkaitan: Anak Bawah 13 Tahun Tak Dibenarkan Miliki Akaun Media Sosial – Fahmi Fadzil

SKMM Hasilkan Undang-undang Untuk Lindungi Kanak-kanak Dalam Talian

Fahmi berkata peraturan tersebut sedang dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ia memberikan fokus spesifik terhadap melindungi kanak-kanak di dalam talian dan memastikan kandungan yang bersesuaian dengan umur bagi pengguna muda.

“Di bawah undang-undang subsidiari ini, pembekal perkhidmatan harus memastikan platform mereka tidak boleh diakses oleh pengguna bawah 16 tahun, sementara kandungan yang didedahkan kepada mereka bawah 18 tahun perlu bersesuaian dengan umur mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan Ahli Parlimen Pang Hok Liong (PH-Labis) sama ada kerajaan akan memperkenalkan undang-undang untuk menyekat dan menghalang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada menggunakan platform media sosial.

Tambah Fahmi, pembekal perkhidmatan dalam talian juga perlu menawarkan sistem kawalan ibu bapa yang efektif serta bertepatan dengan garis panduan komuniti atau terma penggunaan.

Mereka turut diminta agar menyediakan pelan keselamatan dalam talian yang memperincikan bagaimana peraturan di bawah Akta dipatuhi bagi tujuan akauntabiliti.

Pembekal Perkhidmatan Dalam Talian Perlu Dapatkan Lesen

Mengulas lanjut, Fahmi berkata kerajaan telah mengambil pendekatan yang komprehensif dalam mengawal kandungan dalam talian yang berbahaya dan melindungi kumpulan rentan, khususnya kanak-kanak dan remaja.

Antara pendekatan tersebut termasuk menguatkuasakan keperluan pelesenan bagi pembekal perkhidmatan pemesejan internet dan media sosial yang mematuhi had pelesenan.

Perkara ini seterusnya akan mendorong mereka agar mendapatkan lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Langkah ini memastikan pembekal perkhidmatan bertanggungjawab terhadap kawalan kandungan dan pengurusan algoritma,” katanya dipetik The Star.

Akta Keselamatan Dalam Talian Dijangka Berkuat Kuasa 1 Januari 2026

Di samping itu, SKMM telah menerbitkan Kod Amalan yang menetapkan tanggungjawab pembekal perkhidmatan permesejan dan media sosial seperti melaksanakan ciri-ciri verifikasi umur, menawarkan tetapan kawalan ibu bapa dan mengukuhkan alat keselamatan bagi pengguna muda.

Fahmi menjelaskan bahawa Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 telah digubal bagi mengawal kandungan berbahaya dan menggariskan tugas-tugas aplikasi berlesen, kandungan dan pembekal perkhidmatan rangkaian.

“SKMM juga sedang meneroka kaedah praktikal untuk mengesahkan umur dan identiti pengguna di platform dalam talian,” ujarnya.

Sebagai info, akta berkenaan dijangka akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 selepas digazetkan pada 22 Mei lalu.

SKMM Lancar Kempen Internet Selamat Pada Januari Lalu

Dalam masa sama, Fahmi mendedahkan bahawa kementeriannya menerusi SKMM turut melancarkan Kempen Internet Selamat (KIS) bagi tujuan meningkatkan kesedaran umum terhadap keselamatan dalam talian, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan keluarga.

Kempen yang dilancarkan pada Januari lalu merangkumi isu-isu berkaitan termasuk had umur bagi penggunaan media sosial, buli siber, kandungan berbahaya, jejak digital dan pemeriksaan fakta.

Kata Fahmi, inisiatif ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan mengelakkan kanak-kanak daripada menjadi mangsa jenayah dalam talian.

Baca Artikel Berkaitan: Guru Jadikan Anak Murid Sebagai ‘Content’ Media Sosial Bakal Berdepan Tindakan, Kata Menteri Pendidikan

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.