Banjir Hatyai: Operasi Bawa Pulang Pelajar & Pensyarah UUM Dijadualkan Pagi Ini
UUM menerusi kenyataan di Facebook berkata, operasi pemindahan pelajar terbabit akan dibuat pihak Konsulat Malaysia di Thailand dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Operasi membawa pulang penuntut dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terperangkap akibat banjir buruk di Hatyai, Thailand dijadualkan dilakukan pagi ini.
Difahamkan, kesemua mereka yang terdiri daripada 36 pelajar dan empat pensyarah itu terkandas di Hatyai sejak Sabtu lalu (22 November).
Usaha bawa pulang mereka dibuat oleh pihak Konsulat Malaysia dan dengan bantuan NGO
UUM menerusi kenyataan di Facebook berkata, operasi pemindahan pelajar terbabit akan dibuat pihak Konsulat Malaysia di Thailand dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO).
“Marilah kita sama-sama berdoa segala perancangan berjalan lancar dan pelajar dapat dibawa pulang dengan selamat,” katanya dipetik Harian Metro.
Sebelum ini, 12 bot bantuan digerakkan melalui kerjasama NGO bagi menghantar makanan dan keperluan asas kepada pelajar yang berlindung di Hotel Wangburapa Grand itu.
“Namun arus deras memaksa semua bot itu terpaksa berpatah balik demi keselamatan,” katanya.
Keadaan banjir di hotel diduduki pelajar UUM lebih kritikal berbanding kawasan lain
Menurut kenyataan sama, keadaan di kawasan hotel itu dilaporkan lebih kritikal berbanding lokasi lain kerana kedudukannya berhampiran sungai, selain paras air yang naik sehingga melebihi tingkat satu bangunan.
“Situasi itu sekali gus menyukarkan akses kenderaan termasuk kereta dan lori untuk masuk menghampiri kawasan terbabit,” katanya lagi.
Dalam satu lagi kenyataan berasingan, UUM memaklumkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam proses membawa pulang pelajar-pelajar UUM.
Tambah UUM, ketika ini, 40 pelajar dan pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) dalam persediaan proses pemindahan dari hotel mereka menginap.
“Mereka dijadualkan pulang ke Malaysia atau tiba di Bukit Kayu Hitam pada hari ini dengan bantuan Konsulat Malaysia di Hatyai.”
Keadaan banjir sejak Sabtu lalu di selatan Thailand itu mendapat perhatian ramai selepas kira-kira lebih 1,000 rakyat Malaysia yang berada di sana dilaporkan terkandas.
Lebih membimbangkan apabila tular juga video yang memaparkan penuntut-penuntut UUM menyatakan mereka kekurangan bekalan makanan selain ada di antara mereka yang kehabisan ubat.
@baby_surf MINTA TOLONG SEBARKAN 🙏🏻 Minta juga untuk doakan rakan rakan saya yang terkandas banjir di Hat Yai #uum #fyp #hatyai #banjir ♬ original sound – aideeqazhar
Gelombang kedua banjir di Hatyai makin buruk, sukarkan proses pemindahan
Terdahulu, pasukan penyelamat sukarela dari Malaysia berdepan kesukaran memasuki Hatyai dan Songkhla selepas Thailand mengeluarkan amaran banjir tahap merah.
Difahamkan, banjir yang semakin memburuk di selatan Thailand itu menyukarkan proses menyelamat lebih 1,000 pelancong Malaysia yang masih terperangkap di sana.
Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani, Leong Beng Tat berkata, keadaan kritikal di Hatyai dan Songkhla berkemungkinan menyebabkan pasukan tentera Thailand tidak membenarkan mereka memasuki kawasan bencana.
Baca Artikel Berkaitan: Thailand Keluar Amaran Banjir Tahap Merah, Lebih 1,000 Pelancong Malaysia Masih Terperangkap Di Hatyai
Baca Artikel Berkaitan: Banjir Hatyai: Penyelamat Bingung, Rakyat Malaysia Enggan Diselamatkan Kerana Belum Waktu ‘Check-out’



