Wartawan Sukan Haresh Deol Cedera Diserang, Polis Buru Tiga Lelaki
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfield, kesemua suspek masih belum dikenal pasti dan tindakan mengesan individu terlibat sedang dijalankan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pihak polis kini sedang mengesan tiga lelaki yang disyaki menyerang dan memukul wartawan sukan, Haresh Deol di Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur berhampiran parkir sebuah pusat beli-belah semalam (25 November).
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian kira-kira jam 4 petang.
“Kes terbabit melibatkan tiga suspek yang mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki yang merupakan wartawan sukan.
“Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan (luka) pada bahagian muka, tangan dan badan kerana terjatuh semasa cuba menyelamatkan diri,” katanya dipetik Sinar Harian.
Kesemua suspek belum dikenali, tindakan mengesan sedang dijalankan
Menurutnya, kesemua suspek masih belum dikenal pasti dan tindakan mengesan individu terlibat sedang dijalankan.
“Pegawai penyiasat akan memohon Perintah OTI (Order to Investigate) daripada Timbalan Pendakwa Raya esok bagi mendapatkan kebenaran untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Hoo Chang berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Adnan Alias, di talian 019-2162272.
Haresh dedah diserang 2 individu raih perhatian ramai
Terdahulu, kecoh di media sosial selepas Haresh memuat naik hantaran mengenai dirinya yang diserang oleh dua individu.
Menurut bekas wartawan Malaymail itu, semasa kejadian terdapat seorang lagi individu yang bertindak merakam ketika dirinya diserang.
Perkara itu kemudiannya mendapat perhatian ramai di mana rata-rata netizen mempersoal motif serangan yang dilakukan itu.
Sebelum ini, Haresh yang juga pengasas portal sukan Twentytwo13 itu kerap dilihat mengkritik Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung isu pemain naturalisasi.
Antara isu yang dibangkitkan Haresh adalah pendedahan FIFA yang disifatkannya sebagai satu tamparan hebat kepada Malaysia kerana padanya ia bukanlah isu teknikal, tetapi pemalsuan dokumen dan ketelusan.
I’ve just been attacked by two individuals, with another taking a video of myself being attacked.
— Haresh Deol 🇲🇾 (@HareshDeol) November 25, 2025
I have just lodged a police report.
[Terkini] polis berjaya tahan seorang lelaki
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam serangan terhadap wartawan dan pengulas sukan, Haresh Deol di Bangsar.
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook, suspek lelaki tempatan berusia 37 tahun itu ditahan di Taman Ikan Emas sekitar jam 2 pagi tadi.
Sehubungan itu suspek direman tiga hari bermula hari ini (26) hingga Jumaat bagi membantu siasatan, lapor Berita Harian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Terdahulu Haresh mendedahkan telah diserang dua lelaki ketika sedang menuju ke keretanya.
Tambah pengulas sukan itu lagi, insiden itu turut dirakam oleh seorang lagi individu dengan menggunakan telefon bimbit.