Bahan Rujukan Musnah Kerana Banjir, Calon SPM Tak Patah Semangat Ulang Kaji Guna Telefon Bimbit
Kata salah seorang calon SPM memaklumkan dia rasa berdebar-debar mengenangkan peperiksaan yang bakal dijalani dan di PPS terpaksa mencari penjuru yang tidak bising untuk mengulang kaji pelajaran meskipun fikirannya kini bercelaru.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025 sudah bermula sejak 3 November lalu sehingga 23 Disember.
Namun keadaan cuaca yang tidak menentu seperti hujan sehingga menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air dan banjir dan penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Pelindungan Sementara (PPS).
Setakat jam 5.16 petang, 24 November 2025 sebanyak sembilan negeri yang dilanda banjir dengan 94 PPS dibuka melibatkan 13,560 mangsa banjir.
Keadaan ini pastinya menyukarkan calon SPM yang terpaksa berpindah dan meneruskan ulang kaji mereka di tempat PPS.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki Ini Kongsikan 10 Perkara Yang Dihadapi Mangsa Banjir Yang Mungkin Ramai Tak Tahu
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Ini Tips & Persediaan Penting Ketika Berdepan Gelombang Banjir
Bahan rujukan musnah kerana banjir, pelajar di Kelantan terpaksa ulang kaji guna nota di telefon bimbit
Perkara sama turut dilalui oleh calon SPM di Kelantan apabila mereka hanya dapat mengulang kaji pelajaran berbekalkan kecekalan dan semangat yang ada.
Ini kerana kebanyakan nota serta buku untuk rujukan musnah ekoran banjir yang naik mendadak dalam sekelip mata.
Di PPS Sekolah Kebangsaan Tapang, Kota Bharu, beberapa calon SPM dilihat duduk berdekatan suis elektrik untuk mengecas telefon bimbit mereka dan ia adalah satu-satu alat yang tinggal untuk membuat ulang kaji melalui soalan ramalan.
Bukan hanya buku dan nota musnah, banjir turut ganggu rutin peperiksaan
Seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji yang dikenali sebagai Nik Mohd Idham Nik Abdul Rahim memaklumkan banjir yang berlaku ketika ini bukan hanya memusnahkan buku nota serta bahan rujukannya sahaja, tetapi ia turut mengganggu rutin peperiksaan yang sepatutnya teratur dan lancar.
“Saya keluar dari rumah sehelai sepinggang. Ada bawa baju tetapi semua nota habis ditinggalkan, tidak sempat nak fikir apa-apa. Saya hanya bergantung pada telefon yang sempat dicapai sebelum keluar menyelamatkan diri.
“Saya berdebar-debar, peperiksaan akan berlangsung esok… jadi saya mencari penjuru yang tidak bising untuk mengulang kaji, tetapi fikiran saya bercelaru kerana laluan untuk ke sekolah pun sudah tenggelam,” luahnya, lapor Berita Harian.
Hanya dapat bergantung dengan nota yang dihantar cikgu dalam WhatsApp
Manakala seorang lagi pelajar dari SMK Tanjong Mas, Mohd Faris Aiman Mohd Azri turut mengakui hanya bergantung dengan nota yang diberikan oleh guru menerusi aplikasi WhatsApp.
Hal itu kerana buku rujukan tidak dapat diambil disebabkan air naik terlalu cepat ke dalam rumah.
“Buku langsung tidak sempat diambil. Air masuk ke dalam rumah terlalu cepat. Ulang kaji menggunakan telefon pun rasa lain, tetapi dapatlah mengurangkan rasa cemas.”
Seorang lagi pelajar, Wan Muhammad Radhi Wandee dari SMK Kota Bharu yang ditempatkan di PPS SK Islah pula tidak patah semangat untuk membuat persediaan menduduki peperiksaan yang akan menentukan masa depannya itu meskipun adakala berdepan dengan suasana yang kurang selesa.
“Saya dan keluarga terpaksa berpindah ke PPS selepas kediaman kami dinaiki air pada petang Sabtu lalu.
“Walaupun diuji, keadaan ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengulang kaji pelajaran dan menjawab kertas pertama Bahasa Melayu, esok.
“Ibu saya, Siti Rahmah Abdul Manaf, 38, juga sentiasa memberikan semangat dan sokongan untuk saya kekal fokus,” jelasnya lagi.
Pelajar di Pulau Pinang hanya dapat bawa buku nota dan alat tulis
Bagi seorang lagi calon SPM di Pulau Pinang, Nur Azriana Nadia Ahmad Rizal dari SMK Pokok Sena dia hanya dapat membawa buku nota dan juga alat tulis ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi selepas rumah dinaiki air.
Menurutnya rumah keluarga di Kampung Sebenarang Tok Dol, Tasek Gelugor dinaiki air sehingga ke paras pinggang sebelum mereka dipindahkan ke PPS berkenaan selepas solat Maghrib pada malam semalam (23 November).
Disebabkan kekalutan kerana perlu segera keluar disebabkan keadaan bahaya menyebabkan dia hanya dapat mengambil barang serta dokumen penting sahaja untuk dibawa ke PPS.
“Saya tak dapat berfikir ketika keluarga mengambil keputusan berpindah segera ke PPS kerana air naik dengan cepat.
“Saya cuma capai baju dan ambil buku nota serta alat tulis, buku semua dah tak sempat.
“Pihak sekolah sudah dimaklumkan dan saya harap esok semuanya lancar sebab hari pertama menduduki SPM.”
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Warga Emas Tersenyum, Rumah Kelong Yang Pernah Diejek Dahulu Kini Terapung Di Musim Banjir [Video]
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa Kebanyakan Kereta Perodua Seperti Myvi Boleh Redah Banjir? Ini Sebabnya
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Ini Cara Melupuskan Al-Quran Yang Rosak Akibat Banjir
Pada 23 November lalu media melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan tumpuan yang penuh terhadap persiapan serta kesiapsiagaan dalam berdepan dengan banjir ekoran cuaca yang tak menentu dalam tempoh beberapa hari ini.
Jelas menterinya, Fadhlina Sidek keutamaan pada masa ini adalah memastikan calon dapat menduduki peperiksaan SPM berkenaan tanpa halangan, selain menguruskan keselamatan murid di kawasan yang berisiko banjir.



