PETRONAS Lantik Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Jadi Penasihat Hartanah
Sebelum ini, perkhidmatan Maimunah sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dipendekkan setahun lebih awal bagi membolehkannya menyertai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) gergasi nasional.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
PETRONAS melantik Datuk Seri (TPr) Dr Maimunah Mohd Sharif sebagai Penasihat Hartanah berkuat kuasa 17 November 2025 bagi memperkukuh strategi pembangunan dan pengurusan portfolio hartanah syarikat.
Pelantikan tokoh berpengalaman lebih empat dekad dalam pembangunan bandar mampan itu akan memacu fasa pertumbuhan baharu aset hartanah PETRONAS, termasuk projek di tanah Sungai Besi dan pembangunan Kota Madani.
Maimunah pernah sandang beberapa jawatan utama dalam dan luar negara
PETRONAS dalam kenyataan berkata, Maimunah sebelum ini ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pernah menerajui beberapa jawatan utama dalam serta luar negara, termasuk Presiden wanita pertama Majlis Perbandaran Seberang Perai dan Datuk Bandar Pulau Pinang.
Di peringkat antarabangsa pula, beliau mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama dilantik sebagai Setiausaha Agung Penolong dan Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), selain pernah memangku jawatan Ketua Pengarah Pejabat PBB di Nairobi.
Sepanjang kerjayanya, beliau turut menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Kepimpinan di World Smart City Awards (Bercelona) dan Anugerah Kepimpinan Terbaik kategori Bandar oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“PETRONAS yakin kepakaran dan pengalaman luas beliau akan menjadi nilai tambah kepada hala tuju syarikat dalam pembangunan hartanah strategik,” kata syarikat itu.
Tempoh pelantikan Maimunah sebagai Datuk Bandar KL dipendekkan
Terdahulu, media melaporkan tempoh perkhidmatan Maimunah sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dipendekkan setahun lebih awal bagi membolehkannya menyertai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) gergasi nasional.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perkara itu mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya tempoh perkhidmatan Maimunah dipendekkan daripada 14 Ogos 2026 kepada 14 November 2025.
“Pemendekan tempoh itu bagi memberi ruang kepada beliau untuk menyumbang kepakaran dalam GLC berkenaan yang diberi tanggungjawab membangunkan mercu tanda baharu di Kuala Lumpur.
“Keputusan ini mengambil kira keperluan perkhidmatan dan kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang perancangan bandar berteraskan pembangunan lestari, terutama ketika menerajui UN-Habitat sebagai Pengerusi Eksekutif,” katanya dipetik Berita Harian semalam (13 November).
Berkongsi lanjut, Shamsul Azri berkata, sepanjang menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Maimunah berjaya memperkukuh tadbir urus integrity dan kecekapan organisasi termasuk meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan bandar raya.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menerusi satu kenyataan sebentar tadi mengumumkan, Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu berkuat kuasa esok (15 Oktober).
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Pertama Dilantik Sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur, Ini Bio Ringkas Dr Maimunah Mohd Sharif



