Pengasas Program ‘Terlampau’ eHati & Pasangan Lari Ke Luar Negara – KP Selangor
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, hasil siasatan mendapati pengasas eHati dan suaminya dipercayai melarikan diri ke luar negara sehari sebelum pertuduhan dilaksanakan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sekitar Julai lalu, kecoh di media mengenai penganjuran program motivasi rumah tangga, eHati yang didakwa membawa ajaran menyimpang dan mempunyai unsur lucah terhadap peserta yang mengikutinya.
Antara dakwaan yang timbul adalah penggunaan air yang boleh mengkhayalkan yang dikenali sebagai ‘Air Piya’ selain menyebarkan ajaran sesat kepada peserta khususnya wanita yang berhadapan dengan krisis rumah tangga.
Kes itu nyata mendapat perhatian ramai termasuklah polis serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang turut meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalankan siasatan terhadap program anjuran Syarikat eHati International Sdn Bhd.
Malah, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada ketika itu memaklumkan tiga kertas siasatan telah dibuka serta turut mengesahkan adanya adegan bogel dalam program berkenaan menerusi segmen ‘Queens Night’ melibatkan empat orang individu.
Baca Artikel Berkaitan: Program eHati Sah Ada Adegan Bogel – Ketua Polis Selangor
Baca Artikel Berkaitan: Isu Program Motivasi eHati: Polis Selangor Buka 3 Kertas Siasatan
Suami Isteri Termasuk Pengasas eHati Melarikan Diri Ke Luar Negara
Terbaharu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mendedahkan dua individu termasuk pengasas program berkenaan yang sedang berdepan dengan pendakwaan dipercayai telah melarikan diri ke luar negara.
Jelas Shazeli, hasil siasatan mendapati wanita yang juga pengasas eHati dan suaminya dipercayai berbuat demikian sehari sebelum pertuduhan dilaksanakan.
“Masih lagi tidak ada tangkapan dibuat kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) percayai mereka sudah melarikan diri ke luar negara sebelum pertuduhan dijalankan.
“Hasil semakan awal PDRM, (suspek ke luar negara) melalui laluan sah kerana mereka bergerak lebih awal sebelum waran dikeluarkan.
“Polis percaya pada 13 Oktober (mereka melarikan diri ke luar negara) yang mana pertuduhan dilaksanakan pada 14 Oktober.
“(Suspek yang melarikan diri) Ya, dua penama yang dikeluarkan waran tangkap itu,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Lokasi Kedua-Dua Suspek Sudah Dikenal Pasti
Terangnya lagi, lokasi kedua-dua suspek telahpun dikenal pasti dan pihaknya akan bekerjasama dengan rakan strategik negara berkenaan untuk mengesan penama yang dikeluarkan waran tangkap.
Namun, Shazeli enggan mendedahkan negara yang dimaksudkan bagi mengelak dari mengganggu proses pencarian.
“Sekarang, PDRM akan berhubung dengan rakan strategik negara terbabit untuk membantu mengesan penama yang dikeluarkan waran tangkap ke atas mereka.
“Biarlah rahsia (negara mana). Beri peluang kepada PDRM untuk melaksanakan tugasan dan siasatan, dikhuatiri sekiranya diberitahu maka akan lebih menyukarkan proses pencarian.
“Di kawasan Asia Tenggara,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan dua individu termasuk pengasas eHati dikehendaki polis selepas waran tangkap dikeluarkan terhadap mereka.
Ia susulan kedua-dua individu terbabit gagal menghadirkan diri ketika pertuduhan dilaksanakan di mahkamah.
Malah, polis sebelum ini mendedahkan seramai 95 orang individu telah dipanggil untuk beri keterangan berkaitan dengan penganjuran program motivasi rumah tangga yang diadakan pada September tahun lalu di sebuat pusat konvensyen yang terletak di Seksyen 15, Selangor.
Baca Artikel Berkaitan: Didakwa Anjur Program Motivasi ‘Terlampau’, Ini Respon Penganjur eHati
Baca Artikel Berkaitan: Program eHati Sah Ada Adegan Bogel – Ketua Polis Selangor



