Isu Tuntutan 40% Sabah: “Yang Celaru Dakwaan Hassan Bukan Kerajaan & PM” – MP Bangi
Malah beliau menegaskan Anwar sudah menyatakan kerajaan tidak akan merayu dapatan mengenai hak Sabah ke atas 40% hasil yang dikutip. Ini bermakna keputusan ini tidak dipertikaikan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak semalam kecoh mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang menyifatkan penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu 40% tuntutan hasil kepada Sabah di Parlimen pada 13 November sebagai bercelaru dan tidak menjawab isu berbangkit.
Menurut Hassan, Anwar menyatakan bahawa kerajaan menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tetapi pada masa sama mengatakan tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dinyatakan oleh hakim.
Pada hematnya, jika kerajaan persekutuan tidak memfailkan rayuan, ini bermakna kerajaan persekutuan mesti mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi sepenuhnya.
Malah Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, kerajaan tidak boleh berlengah-lengah atas alasan untuk berunding dengan kerajaan Sabah.
Baca Artikel Berkaitan: Isu 40% Hasil Sabah: Penjelasan PM Bercelaru, Tak Jawab Isu Berbangkit – MP PKR
Baca Artikel Berkaitan: Apa Sebenarnya Isu 40% Hasil Sabah? Ini Maklumat Ringkas Yang Patut Korang Tahu
Kerajaan tidak melengahkan pelaksaan perintah mahkamah
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan bagaimanapun merasakan kenyataan Hassan tidak berasas bahkan lebih bercelaru berbanding kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri.
Syahredzan dalam satu kenyataan berkata, tidak timbul isu yang kerajaan Persekutuan sengaja melengah-lengahkan pelaksanaan perintah yang mengarahkan semakan dilakukan bagi menentukan hak terhadap 40% hasil Sabah.
Malah menurutnya kerajaan telah menunjukkan komitmen untuk memenuhi segala obligasi seperti termaktub dalam Perlembagaan dan diperintahkan oleh mahkamah berhubung kes berkenaan.
“Harus juga ditekankan di sini mana-mana pihak berhak untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah di peringkat bicara dan rayuan itu boleh dibuat terhadap keseluruhan keputusan atau sebahagian daripadanya. Ini bukan perkara yang luar biasa atau luar aturan, dan sudah tentu Hassan Karim mengetahui perkara ini.
“Selanjutnya, dalam sesuatu penghakiman terdapatnya dapatan-dapatan (findings) mengenai perkara yang menjadi pertikaian dalam Mahkamah.Ada situasi di mana beberapa dapatan Mahkamah tidak dipersetujui oleh pihak-pihak, yang merasakan bahawa mereka harus membuat rayuan. Untuk kes tuntutan hasil Sabah, Kerajaan merasakan terdapat kekhilafan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terutama sekali bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan sejak 1974.
“Dapatan ini membawa implikasi besar dan membuka ruang kepada, antara lain, tindakan Mahkamah seperti misfeasans semasa menjawat jawatan awam (misfeasance in public office) terhadap menteri-menteri Persekutuan dan Negeri.”
Dakwaan Hassan Karim yang celaru dan mengelirukan rakyat – Syahredzan Johan
Malah beliau menegaskan Perdana Menteri sudah menyatakan kerajaan tidak akan merayu dapatan mengenai hak Sabah ke atas 40% hasil yang dikutip.
“Maknanya, keputusan ini tidak dipertikaikan. Kerajaan Persekutuan dan Negeri masih wajib menuruti perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
“Jelas melalui kata-kata dan tindakan, Kerajaan Persekutuan berniat untuk memenuhi obligasinya dalam Perlembagaan Persekutuan dan apa yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi. Tidak timbul langsung tindakan melengah-lengahkan di pihak Kerajaan Persekutuan dalam hal ini.
“Kerajaan Madani telah berterus-terang dan bertindak terbuka dalam isu ini, termasuklah kesediaan Perdana Menteri untuk menjawab sendiri isu-isu yang dibangkitkan ini. Tiada kecelaruan di pihak Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri. Dengan segala hormatnya, yang celaru adalah dakwaan Hassan Karim sendiri dan kecelaruan ini telah mengelirukan rakyat.”