Isu 40% Hasil Sabah: Penjelasan PM Bercelaru, Tak Jawab Isu Berbangkit – MP PKR
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, jika ada isu yang dikemukakan dalam alasan penghakiman yang Kerajaan Persekutuan tidak setuju, maka kerajaan Persekutuan perlu merayu ke Mahkamah Rayuan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu 40% tuntutan hasil kepada Sabah di Parlimen hari ini (13 November) dianggap bercelaru dan tidak menjawab isu berbangkit.
Ahli Parlimen Pasir Gudang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim menerusi satu kenyataan di Facebook mendakwa Anwar menyatakan Jemaah Menteri dalam mesyuarat khas pada 11 November lalu tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai isu tuntutan itu
Anwar dan Jemaah Menteri dengar nasihat peguam negara supaya tidak merayu
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mendengar penjelasan dan nasihat Peguam Negara yang membuat keputusan tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.
“Kecelaruan hujah dari segi undang-undang timbul dalam ucapan Anwar di Parlimen. Dalam satu aspek Anwar berkata kerajaan menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkenaan isu 40% tuntutan hasil kepada Sabah.
“Tetapi Anwar memberitahu Parlimen Kerajaan Persekutuan atau Jemaah Menteri tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dinyatakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dalam alasan penghakimannya.
“Misalnya hukuman yang dinyatakan dalam alasan penghakiman itu yang membawa tafsiran oleh perdana menteri bahawa semua perdana menteri yang lalu dari tahun 1974 hingga sekarang dan semua Ketua Menteri Sabah yang lalu dalam tempoh yang sama dari 1974 hingga sekarang dihukum oleh keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.
“Di sinilah terletaknya kecelaruan perdana menteri dan Jemaah Menteri. Di sinilah juga terletak kecuaian dan kegagalan Peguam Negara dalam memberi nasihat kepada perdana menteri dan Jemaah Menteri,” katanya.
Jika tidak merayu, ia bermakna Kerajaan Persekutuan bersetuju – Hassan
Hassan turut mempersoal sama ada Anwar dan Jemaah Menteri menyedari aturan mahkamah iaitu jika kerajaan tidak membuat rayuan keputusan itu, ia bermakna Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
“Perdana Menteri tidak boleh datang ke Parlimen untuk menyatakan keputusan mahkamah berkenaan tuntutan hasil bersih 40% itu, kerajaan persekutuan setuju tetapi beberapa perkara dan butiran di dalam Alasan Penghakiman Perdana Menteri, Jemaah Menteri serta kerajaan persekutuan tidak setuju.
“Perlu difahami keputusan mahkamah yang dibuat oleh hakim dan alasan penghakiman yang juga dibuat oleh hakim yang sama adalah dua perkara yang berbeza tetapi saling berkait seperti isi dengan kuku,” katanya.
Jelasnya, jika ada isu yang dikemukakan dalam alasan penghakiman yang Kerajaan Persekutuan tidak setuju, maka kerajaan Persekutuan perlu merayu ke Mahkamah Rayuan.
“Jika Kerajaan Persekutuan telah memutuskan tidak mahu merayu maka natijah undang-undang mahkamah ialah Kerajaan Persekutuan kena patuh dan akur 100% setiap perintah yang dinyatakan dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertarikh 17.10.2025 itu. Tidak boleh pilih-pilih,” tegasnya.
Kerajaan tak boleh berlengah, ini masa untuk laksana perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu
Tambahnya lagi, pada ketika ini kerajaan tidak boleh berlengah-lengah atas alasan untuk berunding dengan Kerajaan Negeri Sabah atau Jawatankuasa Khas Kabinet berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tetapi terus melaksanakannya.
“Ini bukan masa berunding lagi. Ini masa untuk laksanakan apa yang diperintah oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu. Tidak ada pilihan lain.
“Jika Kerajaan Persekutuan gagal mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu maka Kerajaan Persekutuan telah tidak menghormati mahkamah atau menghina mahkamah. Inilah kesannya atau natijah keputusan kerajaan yang terburu-buru memutuskan untuk tidak merayu,” katanya.
Beliau berkata tidak ada manfaat Anwar datang ke Parlimen untuk menyatakan beberapa butiran dalam alasan penghakiman bersifat menghukum Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang terdahulu hingga sekarang tetapi Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk tidak merayu.
Jelas Hassan, Parlimen tidak boleh buat apa-apa untuk berpihak kepada Kerajaan Persekutuan atas prinsip pemisahan kuasa dan juga keluhuran undang-undang dan kedaulatan Perlembagaan.
“Jangan salahkan sesiapa jika ada pihak membuat kesimpulan bahawa Kerajaan Persekutuan telah membuat satu kesalahan tort yang dipanggil kecuaian Kerajaan Persekutuan kerana tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tersebut,” ujarnya lagi.
Tidak ada rayuan isu Pemberian Khas, rayuan kerajaan hanya terkait tuduhan berat dalam Alasan Penghakiman
Sementara itu, Anwar menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa keputusan Kerajaan Persekutuan sangat jelas iaitu tidak ada rayuan dalam isu Pemberian Khas Sabah berdasarkan 40% hasil.
Jelas Anwar, rayuan Kerajaan Persekutuan hanyalah terkait tuduhan berat dalam Alasan Penghakiman yang mendakwa semua Kerajaan Persekutuan sejak era Tun Abdul Razak hingga sekarang serta semua Kerajaan Negeri Sabah sejak pentadbiran Tun Datu Mustapha hingga kini telah melanggar kewajipan perlembagaan dan mengabaikan tanggungjawab kepada Sabah.
“Tuduhan serius dan tidak tepat ini harus diperbetulkan. Saya tegaskan sekali lagi, rayuan ini tidak menjejaskan komitmen Kerajaan Madani untuk memuktamad Pemberian Khas Sabah berdasarkan 40% hasil, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” kata Anwar.
View on Threads
Isu tuntutan 40% hasil Sabah, ini yang korang patut tahu
Isu tuntutan 40% hasil bersih kepada Sabah mula menjadi perhatian ramai selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40% hasil bersih yang diperoleh dari Sabah mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Datuk Celestina Stuel Galid menyifatkan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah selama hampir lima dekad.
Penghakiman turut menyatakan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan Perlembagaan sejak 1974.



